Video tular ayah halau anak demi isteri baru, haram hukumnya sebar aib keluarga


  • Mukmin
  • Jumaat, 03 Dis 2021

TANGKAP layar video tular seorang ayah dipercayai menghalau anak-anaknya dengan menyimbah air.

BARU-BARU ini tular sebuah video lama di media sosial memaparkan seorang lelaki tergamak menyimbah air, bagi menghalau isteri dan anak-anak yang mahu berjumpa dengannya di luar pagar rumah.

Menurut pengguna TikTok imazra_, tindakan itu dilakukan bagi membela isteri baru yang difahamkan tidak sehaluan dengan isteri dan anak-anaknya.

Kejadian itu dirakam oleh salah seorang anak ketika mereka memujuk ayah mereka yang berada di dalam kawasan rumah sambil diperhatikan isteri baru lelaki berkenaan.

Menyifatkan perkara itu sebagai aib, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron menegaskan bahawa, haram hukumnya seseorang menyebarkan aib keluarga kerana boleh menimbulkan fitnah.

Mohamad Sabri yang juga Mufti Terengganu itu menganggap, apabila video itu disebarkan, ia boleh dimanipulasi oleh orang ramai yang tiada kena kaitan dengan keluarga terbabit.

"Apatah lagi sekarang ni mungkin ada yang edit dan sebagainya, jadi banyak fitnah timbul," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, beliau juga tidak dapat memastikan sama ada video berkenaan hanya rekaan atau kisah benar.

Namun, katanya, sekiranya video berkenaan dirakam bagi tujuan drama atau satu pengajaran, maka ia boleh disebarkan.

"Kita kena tengok tujuan, nak cerita kepada siapa. Kalau untuk orang tertentu, misalnya kepada pihak mahkamah sebagai bahan bukti lainlah.

"Kalau melibatkan penderaan dan sebagainya yang wajar kita lapor kepada polis dan sebagainya, itu lain cerita," katanya.

Majoriti merujuk semula ke laman TikTok @imazra_ mendapati, video berkenaan sudah dipadamkan namun masih tersebar di laman Facebook.

Hasil penelitian, kejadian itu dipercayai berlaku enam tahun lalu berdasarkan tarikh video itu mula tersebar pada November 2015.

Lokasi kejadian itu tidak dapat dipastikan tetapi dipercayai berlaku di bahagian utara tanah air berdasarkan loghat individu yang terlibat dalam video berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram