PERMAINAN video Call of Duty: Vanguard terpalit kontroversi apabila didakwa menyentuh sensiviti umat Islam susulan penemuan pemain tentang beberapa keratan al-Quran yang bersepah di atas lantai sebagai hiasan lantai pada peta permainan video itu.
Perkara itu seperti didedahkan di laman Twitter @BKTO0R, yang tular baru-baru ini.
"Saudara-saudara, saya melihat halaman al-Quran di tanah dalam peta zombi. Saya melihat bahawa ia harus dikeluarkan secepat mungkin sekiranya ia didapati benar," katanya.
Mengulas mengenai perkara itu, rata-rata netizen menyatakan rasa terkejut dengan tindakan pembangun permainan video itu untuk menggunakan keratan al-Quran sebagai hiasan lantai.
"Ia langsung tidak menghormati (Islam), kalam tuhan di atas lantai dengan darah seperti ia tidak penting," kata salah seorang netizen.
Tangkap layar komen netizen berkaitan penggunaan keratan al-Quran dalam permainan video CoD. —Twitter
Malah, terdapat juga netizen yang menegaskan bahawa perkara itu bukan kali pertama CoD tidak menghormati agama.
Isu itu turut dilaporkan menerusi portal dexerto.com yang membangkitkan isu tersebut kepada syarikat pengeluar permainan video itu, Activision.
Hasilnya, syarikat berkenaan mengeluarkan satu kenyataan permohonan maaf kepada Dexerto kerana kecuaian mereka berhubung isu sensitif itu.
Activision juga turut mengeluarkan peta tersebut daripada permainan video berkenaan.
"Call of Duty dihasilkan untuk semua. Ada kandungan sensitif untuk umat Islam dan telah dikeluarkan. Kami memohon maaf," kata kenyataan itu.
Sebelum ini, perkara sama timbul apabila permainan video Modern Warfare 2 memaparkan ayat al-Quran di dalam tandas.
Pembangun utama yang bekerja pada kandungan Zombies Vanguard dipercayai daripada Sledgehammer Games dan Treyarch Studios, di bawah syarikat Activision Blizzard. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram