Empat golongan yang mendapat doa malaikat


  • Mukmin
  • Khamis, 28 Okt 2021

UMAT Islam harus merebut peluang untuk menjadi orang yang didoakan oleh para malaikat. — Gambar hiasan/Agensi

BERDOA adalah satu lambang pengabdian diri seorang hamba kepada pencipta-Nya dan juga merupakan satu cara untuk memohon hajat kepada ALLAH SWT.

Alangkah beruntungnya seseorang itu jika namanya menjadi sebutan di bibir orang lain yang turut mendoakan kebaikan untuknya.

Tetapi, lebih bertuah jika seseorang itu didoakan oleh makhluk ALLAH yang paling taat dan mengabdikan dirinya semata-mata untuk beribadah kepada-Nya iaitu malaikat.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi melalui laman Telegram berkongsi empat golongan yang mendapat doa malaikat berdasarkan Hadis Nabi Muhammad SAW.

“Sekiranya anda ingin mendapat doa daripada para malaikat, maka jadilah sebahagian daripada golongan yang disebutkan di dalam hadis Nabi Muhammad SAW ini iaitu:

1. Golongan yang bersedekah.

Orang yang bersedekah akan menerima doa daripada para malaikat. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari:

“Tiada satu pagi yang datang melainkan diutuskan dua malaikat dan salah satu malaikat tersebut berdoa: Wahai Tuhanku, berilah pemberi sedekah gantian (yang lebih baik).”

2. Golongan yang menunggu waktu solat.

Golongan ini sangat istimewa di sisi ALLAH kerana dirinya seakan-akan rindu untuk bertemu dengan ALLAH di dalam solatnya. Golongan ini akan mendapat doa keampunan dari para malaikat. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi:

“Sesungguhnya para malaikat mendoakan ke atas mereka yang menunggu solat di tempat solatnya selagi mana dia berada dalam keadaan suci. Doa malaikat: Ya ALLAH ampunkanlah dirinya dan rahmatilah dirinya.”

3. Golongan yang mengajarkan kebaikan.

Golongan ini amat istimewa di sisi ALLAH. Ini kerana bukan sahaja para malaikat mendoakan mereka, ALLAH yang Maha Agung serta penduduk langit dan bumi mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi:

“Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-Nya serta ahli langit dan bumi sehinggakan semut dalam batu dan ikan di lautan mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan.”

4. Golongan yang menziarahi kerana Allah.

Rasulullah SAW turut menjelaskan bahawa orang yang menziarahi orang yang sakit, atau menziarahi saudaranya ikhlas kerana ALLAH, maka dia akan memperoleh doa dari para malaikat. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi:

“Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana ALLAH maka nanti akan diseru dengan kata-kata: engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.”

Maka, kata Ahmad Sanusi, umat Islam harus merebut peluang untuk menjadi orang yang didoakan oleh ALLAH dan para malaikat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram