‘Masjid Negara’ di Syria


  • Mukmin
  • Selasa, 26 Okt 2021

MASJID As-Sabeel III di Syria mempunyai rekaan bumbung 8 bucu itu, diinspirasikan dari bumbung konkrit Masjid Negara di Malaysia.

YAYASAN Kebajikan Muslim (MyFundAction), sebuah pertubuhan NGO anak muda dengan kerjasama Malaysia for Syria dan Bonyan Organization berjaya menubuhkan sebuah masjid di Syria yang mempunyai ciri kubah seperti kubah Masjid Negara.

Masjid As-Sabeel III, yang mempunyai rekaan bumbung 8 bucu itu, diinspirasikan dari bumbung konkrit Masjid Negara, Malaysia yang berbentuk bintang 16 bucu dan kelihatan seperti sekaki payung yang kembang.

Selain terdapat pengaruh masjid di Malaysia, Masjid As-Sabeel ketiga juga direka dengan elemen perhiasan masjid dari Turki dan Syria sendiri.

Masjid yang bernilai RM400,000 itu terletak di tengah-tengah bandar A’zaz dan menjadi antara masjid terbesar di situ.

Rumah ibadat dua tingkat yang mampu menampung seramai 500 orang jemaah itu akan digunakan sebagai pusat ibadat dan pembelajaran Quran dan tahfiz penduduk setempat.

Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Siti Aisyah Syahid berharap masjid tersebut akan menjadi aspirasi bagi anak-anak Syria bangkit mengejar ilmu dan ketamadunan yang merupakan hak mereka.

“Masjid ini bukan sekadar menjadi sebuah bangunan dan kemegahan.

“Biar mereka tahu, satu dunia memberi doa dan semangat untuk mereka membela tanah air mereka sendiri,” tambah beliau.

bd04ac39-96e9-495d-add6-af998584a3a8

Masjid As-Sabeel III mampu menampung sehingga 500 jemaah.

Selain dewan solat utama, tempat mengambil wuduk dan mimbar turut disediakan selain institut agama yang dibina berhadapan dengan masjid berkenaan.

Majlis perasmian masjid berkenaan telah disempurnakan oleh Mufti Kilis, Abdurrahman Shahin, dan turut dihadiri oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) Bonyan, Basel Kharrat dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman.

Untuk rekod, Masjid As-Sabeel yang pertama telah dibina di Al-Bab, Syria manakala yang kedua di Arsal, Lubnan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Syria, Malaysia, Masjid As-Sabeel III