Empat golongan dapat doa Rasulullah SAW


  • Mukmin
  • Selasa, 02 Nov 2021

UMAT Islam digalakkan untuk berdoa selepas azan kerana ia adalah perkara yang diajar oleh Nabi. — Gambar hiasan

SETIAP umat Islam barangkali rindu untuk mendapat doa daripada Rasullulah SAW. Justeru, terdapat beberapa hadis yang menjelaskan mengenai beberapa golongan yang didoakan oleh utusan ALLAH SWT tersebut.

Individu yang melakukan solat sunat empat rakaat sebelum Asar antara golongan yang didoakan oleh Rasulullah SAW, kata Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menerusi laman Telegram itu berkata, ini kerana Rasulullah mendoakan rahmat terhadap mereka yang sentiasa mengamalkannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Mudah-mudahan Allah merahmati seorang lelaki yang menunaikan solat sunat empat rakaat sebelum Asar." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, Ahmad Sanusi berkata, individu yang bertugas sebagai imam dan bilal juga akan menerima doa daripada Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Imam itu adalah penjamin, manakala bilal itu adalah mereka yang dijamin. Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada para imam dan berikanlah keampunan kepada para bilal," -Hadis Riwayat Abu Daud.

Kata Ahmad Sanusi, umat Islam digalakkan untuk berdoa selepas azan kerana ia adalah perkara yang diajar oleh Nabi.

Bahkan, katanya, individu yang membaca doa tersebut akan mendapat doa syafaat daripada Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang membaca doa (doa azan) setelah mendengar azan, maka (mereka yang membaca doa ini) akan mendapat syafaat aku." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ahmad Sanusi berkata, Rasulullah SAW juga pernah mendoakan suami atau isteri yang mengejutkan pasangan mereka untuk bangun menunaikan ibadat qiamullail.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah merahmati buat suami (dalam lafaz seterusnya isteri yang bangun qiamullail dan kemudian dia mengejutkan isteri (atau suami) sehingga mereka berdua mendirikan qiamullail." (Hadis Riwayat Abu Daud) — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Rasulullah SAW, doa, Ahmad Sanusi Azmi