MANUSIA di muka bumi ini dijadikan hidup dalam berkelompok tidak mengira agama, kaum, jantina, serta latar belakang.
Namun apa yang membezakan sesama manusia adalah agama, yang mana lebih tiga agama dianuti oleh penduduk di seluruh dunia termasuk, Islam, Buddha, Kristian dan Hindu.
Setiap agama juga sudah semestinya mempunyai keindahannya tersendiri dan agama Islam mengajar umatnya supaya hidup aman damai serta menyebarkan kebaikan kepada orang lain meskipun berlainan agama.
Agama yang diturunkan Allah SWT itu berbeza dengan agama lain apabila menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai pengutus untuk menyampaikan wahyu kepada umat Islam.
Rukun Islam lima perkara yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu Islam termasuk mengucap dua kalimah syahadh, menunaikan solat lima waktu, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan.
Rukun Islam yang ketiga bukan sahaja dipraktikkan oleh orang Islam, tetapi juga cuba diamalkan oleh sebilangan mereka yang berbeza agama.
Bagi Rema A/P Ramli, 22, beliau mengakui pernah mengikut umat Islam lain berpuasa sebanyak tiga tahun berturut-turut ketika bulan Ramadan.
Gadis berketurunan orang asli itu berkata, tempoh paling lama untuk beliau berpuasa adalah sebanyak 23 hari pada salah satu daripada tahun tersebut.
Ketika ditanya pendapat mengenai Islam, Rema menyifatkan agama itu sentiasa mengajar umatnya berbuat kebaikan kepada orang lain dan diri sendiri sama seperti agama lain.
Katanya, Islam juga meletakkan syarat dan kewajiban menerusi cara pemakaian dan perilaku penganutnya dengan sebab munasabah, termasuk amalan berpuasa yang dapat merehatkan sistem pencernaan.
Sejak dari bangku sekolah, katanya, beliau berkawan dengan majoriti orang Islam yang baik serta bersyukur dikurniakan rakan-rakan yang menunjukkan nilai Islam sebenar.
Tambahnya lagi, beliau sangat menghormati agama Islam terutamanya ketika azan berkumandang.
Rema akui tertarik dengan doa-doa khas diamalkan oleh umat Islam.
“Apabila saya mendengar azan ketika berbaring, saya akan bangun dan duduk bagi menghormati seruan solat itu. Saya juga rasa suasana sekeliling menjadi tenang apabila azan berbunyi.
“Malah, doa-doa khas yang diamalkan umat Islam seperti doa bagi memurahkan rezeki, jodoh serta memohon keampunanan antara perkara yang menarik perhatian saya, ” katanya yang juga penuntut sepenuh masa di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Sementara itu, Karthik Vijayan A/L Uthrapathy berpendapat bahawa Islam adalah salah satu agama yang berasaskan konsep ‘Abrahamic’ selain Judaism dan Kristian.
Pemuda beragama Hindu yang berusia 22 tahun itu berkata, kewujudan Islam di negara ini adalah menerusi penyebaran agama oleh para pedagang Arab di Selat Melaka.
Katanya, perkara yang menarik perhatian mengenai Islam adalah kegemilangan agama itu sehingga kini, yang mana penyebarannya semakin berleluasa.
Karthik berkata, beliau tidak bercakap ketika azan berkumandang bagi menghormati agama Islam.
“Mereka yang beragama Islam tidak pernah mewujudkan apa-apa masalah kepada saya, namun manusia yang berperangai extremist sahaja yang sering mencari pergaduhan sesama mereka yang berlainan agama.
“Menerusi pemahaman saya, pengajaran agama Islam di sekolah kini berasaskan partriarki, disebabkan pada zaman dahulu ada segelintir berpendapat hanya kaum lelaki ynag boleh memerintah, namun ia berbeza ketika ini apabila mana-mana jantina boleh memerintah sekiranya mempunyai kepimpinan yang kuat,” jelasnya.
Pelajar di salah satu Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) itu berkata, beliau juga pernah berpuasa pada bulan Ramadan bersama-sama rakan-rakan Muslimnya dan amalan itu dilakukan sehingga kini.
“Saya juga sememangnya menghormati Islam dan sebagai contoh apabila azan dilaungkan, saya tidak akan bercakap demi menghormati penganut Islam yang lain ketika tiba masa mereka berdoa,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram