Penuhi tiga komponen ini untuk capai kesejahteraan hidup


  • Mukmin
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

PANDEMIK Covid-19 memberi kesan kepada semua pihak tidak kira dari segi mental dan fizikal.

Pelbagai bantuan diberikan untuk membantu mereka yang memerlukan namun adakah seseorang itu mampu mencapai kesejahteraan dengan hanya memastikan makan pakai mereka mencukupi?

Jawapannya tidak.

Profesor Madya Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Ratna Roshida Abd Razak dalam satu penulisannya berkata, manusia memerlukan keseimbangan kesihatan fizikal (jasad atau badan), intelektual (minda atau mental) dan spiritual (rohani atau dalaman).

Katanya komponen fizikal meliputi tubuh badan yang terdapat padanya semua organ bersifat fizikal sama ada yang di luar seperti kaki, tangan, mata, mulut, telinga dan lain-lain atau yang berada dalam badan seperti jantung, buah pinggang, hati dan lain-lain.

Oleh itu sumbangan orang awam serta bantuan kerajaan seperti Bakul Prihatin Negara banyak membantu menyediakan makanan untuk komponen ini dengan membekalkan tenaga bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

Bakul Prihatin Negara

Jelasnya teori hierarki Maslow, menekankan kepentingan keperluan memenuhi aspek ini kerana ia adalah asas utama kepada setiap individu. Jika tidak dipenuhi, agak sukar untuk seseorang bergerak kepada peringkat kehidupan seterusnya.

Makanan bagi komponen intelektual yang mana organ utamanya adalah otak pula adalah ilmu.

Suasana getir hari ini benar-benar menuntut kita memiliki ilmu bagaimana untuk berdepan naik turun jiwa anak, khususnya pada peringkat remaja yang sepatutnya perlu berada dalam kalangan rakan sebaya yang biasa berlaku ketika suasana pembelajaran di sekolah, katanya.

Namun, suasana itu tiada lagi dan berubah kepada pembelajaran di rumah. Ia memberi kesan kepada kesihatan mental anak pada semua peringkat, juga kepada ibu bapa sendiri.

Justeru, katanya penting bagi ibu bapa untuk memiliki ilmu bagi menyantuni anak.

Hukum menuntut ilmu adalah wajib bagi kita seluruh umat Islam dan ia perlu dilakukan bersungguh-sungguh.

"Kegagalan ibu bapa berdepan situasi sebegini dek kerana kecetekan ilmu, mampu mengundang bahaya bukan saja kepada anak, malah diri sendiri.

"Kita juga perlu mempunyai pengetahuan bagaimana meneruskan kelangsungan kehidupan kerana tidak pasti bilakah musibah ini akan berakhir," tulisnya.

Ratna menambah komponen seterusnya iaitu spiritual, yang dianggap paling penting untuk memastikan fizikal dan intelektual dapat berfungsi dengan sejahtera.

Organ yang terdapat di dalam ini tidak mampu dilihat mata kasar, namun mampu menentukan baik dan buruk tindakan atau perbuatan yang dilakukan, iaitu hati (kalbu).

Berdoa

Pada hati ini ada roh yang sifatnya kekal dan tidak akan mati serta sering bekerjasama dengan akal. Semua organ ini disebut sebagai jiwa.

"Kegagalan organ dalam komponen spiritual ini berfungsi dengan baik melalui bekalan makanan sepatutnya diperoleh, boleh menyebabkan manusia diserang sakit jiwa atau hilang pegangan dan perhitungan sehingga membuat sesuatu keputusan di luar pertimbangan akal yang waras," ujarnya.

Makanan bagi komponent rohani atau spiritual ialah apa juga yang menghubungkan seseorang dengan Tuhannya. Dalam konteks Islam, sudah tentu perbuatan seperti solat, puasa, berzikir, membaca al-Quran dan bersedekah.

Apabila rohani atau spiritual sihat dengan pemakanan yang betul, maka terhasil hati yang sihat (saleem).

Dengan hati sihat ini, seseorang mampu memahami makna, tujuan dan nilai kehidupan serta berupaya menghadapi musibah dengan tenang dan berlapang dada,katanya. Agensi