"JANGAN pula kita mengkhianati kawan kita dengan menolak dia secara beransur-ansur," itu antara petikan ucapan Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang tular menerusi sebuah klip video yang dimuat naik di Facebook rasminya.
Video berdurasi dua minit 21 saat itu ditonton 73,000 kali dan hampir dikongsi 1,000 kali.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan itu memuat naik klip video ucapan sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini.
Menerusi klip video tersebut, Mohd Nassuruddin yang juga Ketua Penerangan Pas Kelantan, mengingatkan semua ahli politik agar lebih bersatu padu dan mengenepikan fahaman politik demi membangunkan negara.
"Kita orang politik, kita faham kita parti berbeza, tapi matlamat sebagai orang Islam sama. Perkara yang kita sependapat, kita bersatu dan perkara yang kita mempunyai pandangan berbeza kita bertolak ansur, itu kaedahnya.
"Jadilah kamu seperti dua tangan ia bukan setakat dekat tapi boleh bersentuh. Jangan kamu menjadi seperti dua teliga, walaupun dekat tapi tidak boleh bersama (memetik ayah al-Quran).
"Jadi kita sama-sama bangunkan Kelantan dan di Kerajaan Pusat pun begitu juga. Kita mahu sekali dengan Kerajaan Pusat untuk bangunkan Malaysia," katanya.
Pada masa sama, beliau turut meluahkan rasa bersyukur kerana berpeluang menjadi wakil rakyat di saat semua ahli politik kini menjadi seperti 'adik beradik'.
"Peluang yang Allah SWT beri ini bukan selalunya Dia bagi.
"Kita sebelum ini di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu kita dah ada peluang dah, kini ganti di bawah PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ini peluang baharu yang kita ada untuk tingkatkan perpaduan dan jangan kita lepaskan peluang ini.
"Kalau kita lepaskan peluang ini kita akan makin lemah. Bersabarlah, memang nak jaga perpaduan ini kena sabar apatah lagi kita ini ramai," tambahnya.
Rata-rata netizen memberi komen positif terhadap ucapannya itu.
"Tahniah YB panglima perang, diri bulu roma ambo (saya) tengok ucapan YB dan keiklasan YB dalam usaha memupuk semangat perpaduan," kata Elhafiz Loy.
"Saya sokong pendapat YB....betul lah sampai bila bangsa kita ini nak berbalah sesama kita sedangkan kita ini seagama," kata Hery Izwan.
Manakala Hidzir Rabu berkata, "Alhamdulillah dah ketemu jalan penyelesaian. Semoga diperkenankan." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram