Hasil kecekalan ibu, anak lelaki 8 tahun akhirnya tersedar daripada koma 55 hari


  • Bonda
  • Jumaat, 30 Jan 2026

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di China dilaporkan sedar daripada koma selepas 55 hari, dipercayai dirangsang oleh suara dan mesej semangat daripada rakan-rakan sekelasnya.

KECEKALAN seorang ibu akhirnya membuahkan hasil apabila anak lelakinya yang berusia lapan tahun tersedar daripada koma selepas 55 hari, dipercayai dirangsang oleh suara dan mesej berunsur semangat daripada rakan-rakan sekelasnya.

Menurut laporan media China, The Paper, seorang murid dari Yueyang, wilayah Hunan, China, Liu Chuxi koma selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada November tahun lalu. 

Insiden itu menyebabkan kecederaan serius pada otak serta paru-parunya.

BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius

BACA LAGI: Konon tanda prihatin, jururawat digantung tugas gara-gara benarkan teman lelaki urus ubat, laporan pesakit

Keadaan Liu ketika itu amat kritikal sehinggakan doktor memaklumkan kepada keluarga bahawa peluang untuk dia kembali sedar adalah sangat tipis. 

Namun, ibunya enggan menyerah kalah dan terus membawa anaknya mendapatkan rawatan di beberapa hospital lain dengan harapan masih ada penyembuhan.

Seorang doktor kemudian mencadangkan agar bunyi-bunyi yang biasa didengar pesakit, seperti muzik kegemaran atau suara orang terdekat dimainkan untuk merangsang bahagian tertentu otak.

Berpegang kepada saranan itu, ibu Liu mengumpulkan muzik bangun pagi sekolah serta lagu senaman pagi dan memainkannya kepada anaknya setiap hari.

Pada masa sama, guru Liu mengambil inisiatif mengatur agar rakan-rakan sekelasnya merakam video khas untuknya. 

Dalam rakaman tersebut, mereka menyampaikan kata-kata semangat, menyanyikan lagu kegemaran Liu serta berkongsi cerita lucu dari kelas.

“Chuxi, cepat bangun. Jom kita main bola sepak sama-sama,” kata seorang rakan lelaki dalam video tersebut.

Seorang rakan perempuan pula berkata, “Kami semua rindu kamu. Kalau kamu dengar suara kami, tolong buka mata. Peperiksaan akan datang dan kami tunggu kamu kembali belajar bersama.”

Setiap hari, ibu Liu memainkan video-video tersebut di sisi katil hospital, termasuk rakaman pengajaran matematik daripada gurunya.

Selepas 45 hari dalam keadaan koma, Liu mula menunjukkan tindak balas apabila menggerakkan kelopak matanya. 

Beberapa hari kemudian, dia tersenyum apabila mendengar suara gurunya. 

Pada hari ke-55, Liu akhirnya sedar sepenuhnya dan mampu menggerakkan tangan kirinya.

Guru dan rakan-rakan sekelasnya kemudian melawat Liu di hospital sambil membawa permainan dan kad ucapan. 

Dalam suasana ceria, gurunya sempat berseloroh dengan mengatakan Liu dikecualikan daripada kerja rumah, membuatkan kanak-kanak itu cuba membuka mata dan melambai dengan gembira.

“Saya akhirnya melihat cahaya selepas gelap yang panjang. Keajaiban benar-benar berlaku,” kata ibu Liu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan, guru serta rakan-rakan sekelas anaknya, sambil berharap kisah Liu dapat memberi harapan kepada keluarga lain yang berdepan situasi sama.

Menurut laporan, keadaan kesihatan Liu kini menunjukkan perkembangan positif walaupun dia masih memerlukan tempoh pemulihan yang panjang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram