PELAKON terkenal Hong Kong, Monica Chan beranggapan bahawa kebahagiaan tidak semestinya bergantung kepada perkahwinan atau kehadiran anak.
Pada usia 59 tahun, bekas ratu cantik Miss Hong Kong ini kekal selesa menjalani kehidupan sebagai wanita bujang dan tidak pernah menyesali pilihannya.
Chan, yang dikenali menerusi drama popular seperti Detective Investigation Files III, The Duke of Mount Deer dan The Royal Swordsmen sering menjadi perhatian ramai kerana statusnya yang masih solo walaupun memiliki kerjaya cemerlang, rupa paras menawan serta latar genetik yang baik.
BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius
Berbanding rakan-rakan rapatnya dalam industri hiburan seperti Ada Choi, Catherine Hung dan Athena Chu yang kini telah berkeluarga dan mempunyai anak, Monica Chan memilih jalan hidup yang berbeza dan dia selesa dengannya.
Menurut laporan, Chan kerap diajukan soalan sama ada dia menyesal tidak berkahwin atau mempunyai anak.
Namun, dalam satu siaran langsung baru-baru ini, pelakon itu menjawab soalan seorang individu dengan tenang dan matang, menyatakan bahawa ia adalah pilihan peribadinya.
“Tidak kira apa jua kehidupan yang dipilih, asalkan kita bahagia, itu yang paling penting.
"Sama ada berkahwin atau tidak, mempunyai anak atau tidak... semuanya tidak menjadi masalah selagi kita bahagia,” katanya.
Untuk rekod, Chan sebelum ini pernah memberitahu media bahawa dia tidak tergesa-gesa untuk berkahwin dan kini menikmati kebebasan hidup sebagai wanita bujang.
Malah, beliau mengakui ramai rakan cuba memperkenalkannya dengan calon pasangan, namun tiada satu pun hubungan yang berjaya.
“Kita perlu berhati-hati. Memilih orang yang salah boleh membuatkan seseorang berasa lebih sunyi berbanding hidup bersendirian,” katanya dalam satu temu bual terdahulu.
Nama Monica Chan juga tidak asing dengan kisah cinta yang penuh liku.
Hubungan pertamanya adalah bersama penulis Hong Kong, Joe Nieh yang bermula pada tahun 1994.
Namun, hubungan itu berakhir apabila Nieh kembali bersama penyanyi terkenal Vivian Chow, yang kemudiannya menjadi isterinya pada 2009.
Pada 2001, Chan menjalin hubungan dengan ahli perniagaan, Julian Hui, namun percintaan itu hanya bertahan selama enam bulan.
Hui kemudian berkahwin dengan bekas pelakon Michelle Reiss pada 2008.
Pada tahun yang sama, Chan menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki bergelar 'Raja Minyak', Chu Ming, malah pernah mempertimbangkan untuk bersara daripada dunia hiburan demi membina kehidupan bersama.
Namun, impian itu musnah apabila Chu Ming, yang mendakwa memiliki kekayaan melebihi satu bilion dolar Hong Kong terbongkar sebagai penipu yang menyasarkan selebriti kaya selepas muflis ketika Krisis Kewangan Asia 1997.
Kini, Monica Chan memilih untuk berdamai dengan masa lalu dan menikmati kehidupannya mengikut caranya sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
