RAMAI kanak-kanak dan golongan muda pada masa kini membesar dengan rasa tidak selamat yang sering menjadi bebanan dalam hidup mereka.
Kebimbangan terhadap masa depan menyebabkan segelintir daripada mereka mula mengalami pelbagai ketakutan serta isu kesihatan mental yang membimbangkan.
Menurut saintis kesihatan, Dr. Anne Kaman, situasi inilah yang menuntut keperluan terhadap 'sauh' atau sandaran yang kukuh bagi membantu golongan itu mengharungi cabaran kehidupan.
BACA LAGI: Memahami keberkesanan dan risiko ubat GLP-1 sebagai rawatan obesiti popular
BACA LAGI: Menyingkap 9 mitos kesihatan wanita, gejala serangan jantung tersembunyi hingga kekeliruan menopaus
Beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian Penyelidikan Kesihatan Awam Kanak-kanak di Pusat Perubatan Universiti Hamburg-Eppendorf, Jerman, menekankan beberapa faktor utama yang mampu memperkukuhkan kesihatan mental golongan muda.
Beliau menjelaskan bahawa perhatian sepenuhnya, kehadiran penjaga stabil, serta persekitaran selamat adalah elemen kritikal.
Kanak-kanak yang merasa diri mereka dijaga dengan baik didapati lebih terbuka untuk membincangkan ketakutan serta tekanan dihadapi, sekali gus membolehkan mereka menangani masalah tersebut dengan mudah.
Selain itu, kewujudan sandaran sosial dalam kehidupan seharian menerusi ikatan persahabatan, rutin keluarga dan struktur hidup teratur turut memberikan sokongan moral penting dalam membina kemahiran sosial mereka.
Dr. Kaman turut menggariskan kepentingan pengalaman efikasi kendiri, yang mana kanak-kanak perlu diberi peluang untuk merasai bahawa tindakan mereka mampu membawa perubahan.
Hal itu bukan sahaja membantu mereka untuk sekadar bertahan dalam situasi sukar, malah membolehkan mereka menanganinya secara aktif.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa aspek keyakinan amat penting memandangkan ramai golongan muda cenderung merasa hilang kawalan ketika berdepan krisis.
Oleh itu, sokongan dan galakan berterusan perlu diberikan bagi membina semula semangat mereka.
Tambah beliau lagi, pandangan positif terhadap masa depan mampu memberikan sinar baharu buat golongan terkesan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
