MALAYSIA kini memegang gelaran sebagai negara paling obes di rantau ASEAN dengan 54.4 peratus populasi dewasa dikategorikan sebagai berlebihan berat badan atau obes.
Statistik membimbangkan turut menunjukkan kira-kira 29.8 peratus kanak-kanak mengalami masalah serupa, manakala 21 peratus rakyat Malaysia menghidap diabetes, yang mana majoritinya adalah individu obes.
Bagi menangani krisis ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal memperkenalkan ubat Glucagon-Like Peptide 1 (GLP-1) untuk "kumpulan rentan" pada tahun ini.
BACA LAGI: Cukupkah sekadar berjalan 1km? Pakar dedah rahsia kecergasan realistik
BACA LAGI: Menyingkap 9 mitos kesihatan wanita, gejala serangan jantung tersembunyi hingga kekeliruan menopaus
Meskipun kriteria kumpulan tersebut belum diperincikan secara khusus, penekanan utama harus diberikan kepada aspek keselamatan pesakit agar penggunaan ubat itu tidak memudaratkan kesihatan dalam jangka masa panjang.
Ubat GLP-1 berfungsi sebagai 'agonis reseptor' yang meniru hormon semula jadi dalam saluran gastrousus manusia.
Apabila makanan diambil, sistem pencernaan menukarkan karbohidrat kepada gula ringkas yang memasuki aliran darah.
Dalam proses itu, GLP-1 bertindak merangsang pankreas untuk merembeskan insulin bagi menukarkan glukosa kepada tenaga, sekali gus mengawal paras gula dalam darah.
Bagi pesakit diabetes dan obesiti, ubat itu bukan sahaja merangsang insulin tetapi juga bertindak pada otak untuk mengurangkan rasa lapar serta melambatkan proses pengosongan perut.
Mekanisme itu membantu mengurangkan keinginan makan, meningkatkan rasa kenyang, dan secara tidak langsung membantu penurunan berat badan serta kawalan glukosa yang lebih efektif.
Sehingga 2025, lebih 30 jenis ubat GLP-1 telah didaftarkan di Malaysia dalam bentuk suntikan mahupun tablet.
Walaupun terbukti berkesan, penggunaan ubat ini tidak terlepas daripada kesan sampingan.
Gejala biasa termasuk loya, muntah, dan cirit-birit, namun dalam kes tertentu, ia boleh menyebabkan dehidrasi teruk yang memerlukan rawatan di hospital.
Antara risiko serius yang jarang berlaku adalah 'pankreatitis' (keradangan pankreas), 'gastroparesis' (pergerakan makanan tersekat di perut) dan halangan pada saluran usus atau hempedu.
Pesakit yang mengalami sakit perut melampau sehingga merebak ke bahagian belakang badan dinasihatkan untuk segera mendapatkan bantuan perubatan bagi mengelakkan komplikasi lanjut.
Satu fenomena yang sering dikaitkan dengan penurunan berat badan drastik melalui ubat ini adalah "Wajah Ozempic".
Ia merujuk kepada perubahan rupa paras seperti wajah cengkung, kedutan dan mata yang nampak tenggelam akibat kehilangan lemak muka yang terlalu pantas.
Selain itu, ubat ini juga boleh memberi kesan variasi terhadap keinginan seksual bagi sesetengah individu.
Langkah berjaga-jaga amat penting bagi wanita hamil, mereka yang merancang untuk hamil, atau ibu yang menyusukan bayi kerana ketiadaan data keselamatan yang mencukupi.
Pengguna ubat perancang kehamilan secara oral juga perlu menggunakan kaedah perlindungan tambahan kerana ubat GLP-1 boleh mengurangkan keberkesanan pil perancang dalam kalangan individu obes.
Bagi individu yang bakal menjalani pembedahan, makluman kepada doktor adalah wajib. Disebabkan GLP-1 melambatkan pengosongan perut, terdapat risiko tinggi kandungan perut memasuki saluran pernafasan dan paru-paru semasa pesakit berada di bawah pengaruh bius atau penenang.
Modifikasi teknik bius mungkin diperlukan bagi menjamin keselamatan nyawa pesakit.
Pakar perubatan menegaskan bahawa GLP-1 dikategorikan sebagai racun Kumpulan B yang memerlukan preskripsi doktor.
Pembelian secara haram melalui penjual dalam talian atau kaunter farmasi tanpa preskripsi adalah dilarang sama sekali.
Penggunaan produk tiruan atau substandard bukan sahaja tidak berkesan, malah mengundang komplikasi maut seperti kegagalan jantung.
Garis Panduan Amalan Klinikal Malaysia menetapkan ubat ini hanya disyorkan bagi dewasa dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi, atau yang mempunyai penyakit berkaitan berat badan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menekankan bahawa ubat-ubatan ini harus disertakan dengan intervensi gaya hidup dan pemakanan yang sihat.
Secara tuntasnya, ubat GLP-1 bukanlah penyelesaian tunggal kepada krisis obesiti.
Strategi yang lebih menyeluruh merangkumi pembentukan persekitaran sihat, saringan awal, dan pemantauan perubatan yang ketat adalah kunci utama.
Kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan penggunaan ubat ini terkawal dan keselamatan kesihatan awam sentiasa terpelihara. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
