SETIAP ibu bapa pasti pernah berdepan saat anak mula memberi alasan untuk tidak ke sekolah atau enggan belajar.
Dalam satu perkongsian di media sosial, sebuah halaman yang memfokuskan kandungan pendidikan dan pembangunan diri menyampaikan peringatan jelas tentang realiti dunia yang bakal dihadapi anak-anak sekiranya sikap tersebut dibiarkan berlarutan.
Berikut lima nasihat penting yang dikongsikan:
BACA LAGI: Bukan gimik! Pasangan mempelai tampil kelainan, 'dress up' busana karakter ikonik anime Demon Slayer
1. Masa tidak akan menunggu
Menurut perkongsian itu, masa tidak pernah menunggu sesiapa.
Hari ini, anak-anak mungkin merasakan mereka masih bebas untuk berkata, 'Saya tidak rasa mahu buat hari ini.'
Namun pada suatu ketika, mereka akan melihat rakan sebaya melangkah ke hadapan, melanjutkan pelajaran, membina kerjaya dan kehidupan, sedangkan diri sendiri masih berada di tempat yang sama.
2. Usaha bukan satu pilihan
Jika seseorang enggan bekerja keras ketika berada di bilik darjah, mereka akan dipaksa bekerja dengan usaha yang lebih berat di dunia luar.
Bezanya, di luar sekolah tiada guru, tiada ibu bapa dan tiada sesiapa yang akan membimbing atau memberi peluang berulang kali.
3. Dunia tidak berhutang apa-apa kepada sesiapa
Perkongsian itu juga mengingatkan, dunia tidak berhutang apa-apa kepada sesiapa.
Tanpa kejayaan dan kemahiran sebenar, seseorang tidak akan dihormati dan mudah digantikan.
Malah, kasih sayang ibu bapa sendiri tidak mampu melindungi anak-anak daripada kebenaran tersebut.
4. Pengetahuan ialah kuasa, bukan sekadar sekolah
Selain itu, pengetahuan tidak seharusnya dilihat sekadar untuk lulus peperiksaan.
Ia merangkumi keupayaan berfikir secara kritikal, bertutur dengan yakin dan menyelesaikan masalah.
Kemahiran inilah yang membuka peluang dan membantu seseorang berdikari tanpa sentiasa bergantung kepada orang lain.
5. Tanpa persediaan, kehidupan menjadi lebih keras
Pekerjaan yang tersedia selalunya berpendapatan rendah, kurang penghargaan dan mudah diganti.
Inilah realiti yang tidak diinginkan oleh mana-mana ibu bapa untuk masa depan anak mereka.
Perkongsian itu diakhiri dengan peringatan bahawa belajar mungkin bukan satu-satunya jalan menuju kejayaan, namun tidak melakukan apa-apa bukanlah pilihan.
Setiap individu berkembang setiap hari, sama ada secara sedar atau tidak dan masa depan banyak ditentukan oleh usaha yang dilakukan hari ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
