Wanita dibayar lebih rendah, jurang gaji antara jantina masih berlaku di Jerman


  • Maya
  • Khamis, 15 Jan 2026

Seorang wanita sedang meneliti slip gaji di pejabat sebagai gambaran terhadap isu jurang pendapatan gender yang masih ketara di Jerman.

JURANG pendapatan antara jantina di Jerman dilaporkan masih ketara apabila golongan wanita terus menerima kadar upah jauh lebih rendah berbanding lelaki bagi tahun lalu.

Menurut laporan Pejabat Perangkaan Persekutuan (Destatis) pada November lalu, purata gaji sejam bagi wanita adalah sebanyak €22.81 (RM109.23).

Jumlah tersebut memperlihatkan perbezaan sebanyak €4.24 (RM20.30) berbanding lelaki, sekali gus mengekalkan jurang gaji sebanyak 16 peratus.

BACA LAGI: Tubuh anak berbau? Ibu bapa jangan panik, bukan semestinya akibat baligh awal

BACA LAGI: Kesihatan mental kanak-kanak pulih lepas sekolah dibuka semula

Walaupun angka tersebut menunjukkan penyusutan sebanyak dua mata peratusan pada 2024 berbanding sebelumnya dan jauh lebih rendah berbanding 23 peratus pada 2006, namun momentum penurunan itu dilihat mula mendatar.

Faktor pekerjaan sambilan, sektor kerjaya

Agensi perangkaan tersebut menjelaskan bahawa hampir dua pertiga daripada jurang gaji berkenaan berpunca daripada penglibatan wanita yang lebih tinggi dalam pekerjaan sambilan.

Selain itu, wanita juga cenderung bekerja dalam sektor kerjaya yang secara tradisinya menawarkan tangga gaji lebih rendah.

Selepas mengambil kira faktor-faktor tersebut, baki jurang gaji sebanyak €1.71 (RM8.19) atau kira-kira 6 peratus daripada gaji kasar sejam masih gagal dijelaskan secara terperinci.

Angka yang dikenali sebagai 'jurang gaji gender dilaraskan' ini dilaporkan tidak berubah bagi tahun 2025.

Walaupun mempunyai kelayakan, sejarah pekerjaan, dan memegang jawatan yang setaraf, wanita masih dibayar enam peratus lebih rendah berbanding lelaki yang menerima purata gaji sejam sebanyak €27.05 (RM129.53).

"Pihak agensi mengesyaki faktor gangguan dalam tempoh kerjaya, seperti cuti kehamilan, penjagaan anak, atau tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang uzur memainkan peranan penting, namun data terperinci mengenainya tidak direkodkan," lapor agensi tersebut.

Pejabat perangkaan itu turut menyifatkan angka enam peratus tersebut sebagai had maksimum bagi kemungkinan berlakunya diskriminasi pendapatan oleh majikan.

Statistik turut menunjukkan perbezaan ketara mengikut wilayah, yang mana jurang gaji di timur Jerman adalah jauh lebih rendah iaitu pada kadar 5 peratus, berbanding 17 peratus di wilayah barat.

Berdasarkan piawaian statistik Eropah, pengiraan ini tidak melibatkan sektor pertanian, perhutanan, perikanan, serta pentadbiran awam dan pertahanan.

Bagaimanapun, jurang gaji dalam sektor awam dilaporkan jauh lebih kecil iaitu hanya 4 peratus. Sekiranya sektor ini diambil kira dalam statistik keseluruhan, jurang gaji tidak dilaraskan di peringkat nasional dijangka turun kepada 15 peratus. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram