'Semoga lukisan patik hiasi dinding istana', pemuda hasilkan potret diraja atas Kain Tenun Pahang, bertatah 1,000 kristal Swarovski


  • Gaya
  • Isnin, 05 Jan 2026

Wishi melukis potret Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

BUKAN di atas kanvas biasa, sebaliknya dihampar di atas kain warisan diraja. 

Itulah keunikan karya terbaharu pelukis tempatan, Wisyi yang berjaya menarik perhatian ramai apabila memuat naik detik-detik proses melukis potret Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan KDPB Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj di atas Kain Tenun Pahang Diraja yang dihiasi lebih 1,000 kristal Swarovski.

BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak

BACA LAGI: Suami ugut bayar RM50,000 kalau nak cerai? Peguam jelas hak isteri, bongkar helah pasangan ambil kesempatan

Menerusi rakaman yang dikongsikan di media sosial, Wisyi dilihat tekun memperhalusi setiap raut wajah, daripada pandangan mata hingga ekspresi halus yang memperlihatkan kesabaran dan ketelitian tinggi sepanjang proses penghasilan karya tersebut. 

Lukisan berkenaan kemudiannya disiapkan sebagai potret rasmi yang sarat nilai seni, sebelum dipersembahkan di hadapan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang. 

Turut dirakam detik istimewa apabila balutan lukisan dibuka untuk tatapan baginda berdua.

Dalam hantaran sama, Wisyi meluahkan rasa syukur atas peluang dan kepercayaan yang diberikan pihak istana.

“Lukisan saya yang ke-4 untuk istana. Lukisan kali ini dihasilkan di atas Kain Tenun Pahang Diraja dan dihiasi lebih 1,000 kristal Swarovski. 

"Menjunjung kasih KDPB Sultan Pahang dan KDPB Tengku Ampuan Pahang. Semoga lukisan patik ini dapat menghiasi dinding Istana Negeri Pahang," katanya. 

Ini bukan kali pertama hasil sentuhan Wisyi menembusi pintu istana. 

Pada 8 November 2025, beliau pernah berkongsi proses melukis potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Kedah di atas kain songket yang turut dihiasi kristal Swarovski. 

Menurutnya, karya tersebut mengambil masa sekitar 18 hari untuk disiapkan sebelum dipersembahkan ke Istana Negeri Kedah.

“Lukisan saya yang ke-3 masuk ke Istana. Kali ini saya lukis potret KDYMM Sultan Kedah atas songket bertatahkan Swarovski," katanya. 

Lebih awal, pada November 2024, Wisyi turut mencatat satu lagi detik bermakna apabila lukisan potret Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja Permaisuri Agong yang dihasilkan di atas samping songket dipersembahkan di Istana Negara. 

Karya tersebut mengambil masa hampir tiga minggu untuk disiapkan.

“Tak pernah jangka akan dapat peluang seperti ini. Lukisan saya dah masuk Istana Negara," katanya. 

Menariknya, Wisyi turut memberi bayangan bahawa perjalanan seninya bersama karya berunsur diraja masih belum berakhir.

“Insya-ALLAH akan ada lukisan ke-5 pula menyusul untuk negeri lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram