Pulih lepas 2 tahun derita tumor 'jarang berlaku', ketulan seberat 10kg berjaya dibuang


  • Sukses
  • Isnin, 29 Dis 2025

Dr Melissa (kanan) bersama pesakit selepas pembedahan yang dijalankan.

PENDERITAAN hampir dua tahun bagi seorang wanita berusia 27 tahun dari Timor-Leste akhirnya berakhir apabila tumor payudara seberat 10 kilogram (kg) yang membataskan pergerakan hariannya berjaya dibuang menerusi satu pembedahan kompleks.

Pembedahan berisiko tinggi berkenaan dijalankan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. 

Tumor berdiameter 46 sentimeter itu dikenal pasti sebagai tumor phyllodes, sejenis tumor payudara jarang berlaku, hanya mewakili kira-kira satu peratus daripada keseluruhan kes dewasa di seluruh dunia.

BACA LAGI: Tak mahu isteri pandang lelaki lain, suami tergamak siram air panas hingga melecur ketika tidur, mangsa nekad fail saman

BACA LAGI: Suami ugut bayar RM50,000 kalau nak cerai? Peguam jelas hak isteri, bongkar helah pasangan ambil kesempatan

Tumor tersebut timbul hampir dua tahun, tetapi membesar dengan cepat beberapa bulan kebelakangan ini. 

Kes melibatkan pesakit muda seperti ini juga sangat jarang, dengan kurang daripada 30 kes remaja dan kanak-kanak direkodkan di peringkat global.

Dr Kenneth Kok (kiri) dan Dr Melissa Tan di sisi katil pesakit.

Hasil pemeriksaan prapembedahan menunjukkan tiada penyebaran kanser ke organ lain, membolehkan mastektomi dilakukan bagi membuang tumor sepenuhnya.

Pembedahan selama empat jam dikendalikan oleh pasukan pelbagai disiplin termasuk Dr. Melissa (Bedah Payudara dan Onkoplastik), Dr. Kenneth Kok (Bedah Plastik dan Rekonstruktif), dan Dr. Muhd Zanapiah Zakaria (Hematologi) yang memastikan pesakit dalam keadaan stabil sepanjang prosedur.

Dr. Melissa berkata, kelewatan pembedahan boleh meningkatkan risiko dan komplikasi.

Tumor phyllodes boleh membesar dengan sangat cepat. Ketulan yang membesar mendadak perlu diperiksa segera. Pembedahan awal membantu rawatan lebih baik dan mengurangkan komplikasi,” katanya.

Dr. Kenneth Kok menambah, perancangan prapembedahan penting untuk memastikan tumor dibuang dengan selamat, luka ditutup sempurna dan tisu sihat dipelihara.

Dalam pada itu, pesakit berkenaan menganggap kejayaan pembedahan itu sebagai titik perubahan besar dalam hidupnya.

“Saya lega kerana beban yang saya tanggung sudah tiada. Nasihat saya kepada semua wanita, walaupun ketulan kecil, segera jumpa doktor,” katanya.

Keputusan patologi akhir mengesahkan tumor itu sebagai tumor phyllodes malignan

Pesakit kini stabil, pulih dengan baik dan akan terus dipantau secara rapi melalui rawatan susulan dan pemantauan onkologi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram