Kulit kemerahan, radang lepas henti guna krim steroid, ini penjelasan pakar


  • Gaya
  • Selasa, 23 Dis 2025

Keadaan sindrom kulit merah terbakar yang lazim berlaku pada bahagian lengan bawah dan tangan seorang pesakit. — Agensi

KESEDARAN mengenai sindrom penarikan steroid topikal (topical steroid withdrawal, TSW) masih rendah, khususnya dalam kalangan pengamal perubatan walaupun keadaan ini melibatkan kesan perubatan dan psikologi yang kompleks, lapor jurnal perubatan BMJ Case Reports.

Keadaan ini berlaku apabila tubuh memberi reaksi buruk terhadap penggunaan krim steroid yang kuat dalam tempoh lama, sama ada apabila dos dikurangkan atau rawatan dihentikan secara mendadak.

TSW turut dikenali sebagai steroid addiction atau red burning skin syndrome, namun ia masih kurang dikenal pasti, sukar didiagnosis serta tidak banyak dikaji.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemuda Aceh redah tanah runtuh, jalan kaki sejauh 136km demi 'halalkan' bakal isteri

BACA LAGI: Suami halang 2 'transgender' masuk tandas wanita demi keselamatan isteri

Menurut laporan, kekurangan kefahaman telah mencetuskan ketakutan tidak berasas, terutamanya di media sosial sehingga ada menganggap semua steroid berbahaya dan memilih rawatan alternatif yang belum terbukti keberkesanannya.

Hakikatnya, krim steroid digunakan secara meluas dan terbukti berkesan untuk merawat masalah kulit radang seperti ekzema dan psoriasis.

Ia hadir dalam empat tahap kekuatan, daripada ringan hingga sangat kuat.

Namun, menghentikan rawatan, khususnya steroid yang kuat selepas penggunaan berpanjangan boleh menyebabkan simptom kembali dengan lebih teruk dan melemahkan berbanding keadaan asal.

Simptom tersebut bukan sahaja boleh merebak ke kawasan kulit lain, malah turut dikaitkan dengan masalah insomnia dan kemurungan.

Punca sebenar TSW masih belum difahami sepenuhnya, manakala diagnosis pula mencabar kerana simptom yang berbeza-beza antara pesakit.

Bagi meningkatkan kesedaran, laporan itu mengetengahkan kes seorang wanita pertengahan usia yang menghidap ekzema atopik sejak kecil dan pernah menggunakan krim steroid dalam tempoh panjang.

Selepas menghentikan penggunaan krim steroid, keadaan kulit dan kesihatannya merosot teruk, termasuk kemerahan menyeluruh, rasa terbakar, kegatalan melampau, kulit merekah, bengkak, sakit saraf serta gangguan tidur.

Wanita itu mengambil masa hampir 28 bulan untuk pulih tanpa sebarang rawatan, termasuk pelembap kulit.

Beliau percaya pesakit TSW tidak akan pulih selagi steroid masih digunakan dan berharap diagnosis awal serta pencegahan diberi keutamaan agar tiada pesakit lain melalui penderitaan yang sama.

Laporan menegaskan, walaupun kesedaran mengenai TSW semakin meningkat dalam komuniti dermatologi, ia masih kerap terlepas pandang dalam amalan klinikal.

Akibatnya, pesakit beralih kepada rawatan sendiri berdasarkan maklumat dalam talian yang tidak konsisten dan berpotensi berbahaya.

Mereka turut mengingatkan bahawa walaupun media sosial membantu meningkatkan kesedaran, ia juga menyumbang kepada ketakutan melampau terhadap steroid sehingga ada pesakit menolak rawatan yang selamat dan diluluskan.

Menurut laporan itu, kepercayaan pesakit hanya dapat dipulihkan melalui pendekatan empati, pendidikan berasaskan bukti serta perbincangan terbuka antara doktor dan pesakit bagi memastikan keputusan rawatan yang lebih baik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram