Ikhtiar wanita tahan haid ketika di tanah suci, hanya perlukan kayu sugi, air zam zam dan bacaan doa


  • Sihat
  • Selasa, 16 Dis 2025

Wanita mengamalkan kaedah rendaman kayu sugi dalam air zam zam sebagai ikhtiar menangguhkan haid ketika menunaikan ibadah haji atau umrah. — Gambar hiasan/Janaan AI

ISU haid ketika berada di tanah suci sering menjadi kebimbangan dalam kalangan jemaah wanita kerana ia memberi kesan langsung terhadap pelaksanaan ibadah.

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi di platform Threads mengenai satu kaedah ikhtiar yang diamalkannya sebagai usaha menangguhkan kedatangan haid ketika menunaikan haji atau umrah.

Menerusi hantaran tersebut, perkongsiannya dibuat dalam bentuk langkah ringkas melibatkan penggunaan kayu sugi dan air zam zam berserta bacaan doa selain disusuli pengalaman beberapa wanita lain yang turut mengamalkan kaedah sama.

BACA LAGI: Suri rumah jadi usahawan, 3 tip bisnes boleh dipelajari daripada kisah pengasas Siti Khadijah

BACA LAGI: Tidak terhad universiti awam, 9 laluan akademik bentuk masa depan cerah lepasan SPM

Berikut tip yang dikongsikan:

1. Sediakan kayu sugi hidup dan air zam zam

Masukkan sebatang kayu sugi hidup ke dalam air zam zam sebagai ikhtiar awal sebelum diminum.

2. Rendam selama 15 minit

Biarkan kayu sugi terendam dalam air zam zam selama kira-kira 15 minit.

3. Baca zikir dan doa sepanjang rendaman

Sepanjang tempoh rendaman, bacaan berikut diamalkan:

– Ya Wadud sebanyak 50 kali

– Ya Sattar sebanyak 50 kali

– Selawat tujuh kali

– Surah Al-Fatihah tiga kali

4. Sebut niat dan minum air rendaman

Selepas selesai bacaan, sebut niat dengan jelas dan minum air tersebut dengan penuh keyakinan serta tawakal kepada Allah.

Di ruangan komen Threads, ramai wanita berkongsi pengalaman masing-masing dan mendakwa kaedah ini berkesan.

Seorang pengguna, @chicdumpling berkata, haidnya yang dijangka datang ketika hari wukuf di Arafah tidak berlaku sepanjang tempoh menunaikan haji selepas mengamalkan kaedah ini.

"Seminggu sebelum hari wukuf, saya diberi tip ini. Minum air setiap hari, Alhamdulillah sampai habis haji, haid masih tak datang.

"Saya sambung minum lagi sebab nak pergi Madinah dan masuk Raudhah," tulisnya.

Sementara itu, @haninasulaiman pula berkata, pendarahan haid berhenti sepenuhnya pada hari ketiga selepas mencuba kaedah ini, sekali gus membolehkan ibadah diteruskan.

Seorang lagi pengguna, @smm2608 menambah, darah berhenti selepas beberapa hari, membolehkannya menunaikan solat Subuh terakhir dan tawaf wada’ sebelum pulang ke tanah air.

Walaupun ramai berkongsi pengalaman positif, kaedah ini adalah hanya ikhtiar individu dan tidak mempunyai pengesahan perubatan.

Wanita digalakkan mendapatkan rujukan agama atau nasihat profesional kesihatan sebelum mencuba sebarang kaedah menangguhkan haid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram