Gadis Dhaka jadikan kaki lima sebagai bilik darjah, ajar anak jalanan tiada akses pendidikan


  • Sukses
  • Selasa, 09 Dis 2025

Seorang gadis di Dhaka, Bangladesh menjadikan kaki lima sebagai bilik darjah mini selepas pulang dari kolej untuk memberi pendidikan kepada anak kecil.

TINDAKAN mulia seorang gadis yang menjadikan kaki lima sebagai bilik darjah mini selepas pulang dari kolej mencetuskan rasa kagum orang ramai. 

Di tengah hiruk-pikuk kota Dhaka, Bangladesh, gadis itu tidak terus pulang seperti pelajar lain. 

Sebaliknya, dia berhenti di satu sudut jalan, membentangkan tikar lusuh dan mengajak anak-anak jalanan berkumpul untuk belajar semampu yang ada.

BACA LAGI: Tak sempat rakam foto perkahwinan, pasangan legenda Hong Kong abadikan momen berbusana tradisi Bhutan selepas 16 tahun penantian

BACA LAGI: Dihalau dari kafe kerana anak autistik buat bunyi batuk, Che Nom kongsi pengalaman bercuti di Switzerland

Street Child Foundation, yang berkongsi video momen berkenaan di Instagram memuji semangat luar biasa gadis tersebut. 

“Tindakan kecil ini mencipta harapan besar. Dia memilih untuk berhenti dan memberi ilmu kepada anak-anak yang hampir langsung tiada akses pendidikan,” ujar wakil organisasi itu dalam hantaran berkenaan.

Rakaman yang tular menunjukkan gadis itu duduk tenang di atas tikar sambil membuka sebuah buku, mengajar beberapa perkataan asas kepada kanak-kanak yang mengelilinginya. 

Walaupun tanpa meja, papan tulis, namun semangat pembelajaran yang tercetus lebih hidup daripada mana-mana kelas berhawa dingin. 

Anak-anak itu, ada yang berkaki ayam dan berdebu, kelihatan khusyuk menyebut setiap perkataan yang diajarkan.

Orang ramai yang lalu di kawasan itu tidak ketinggalan memberikan pujian. 

Street Child Foundation turut menekankan bahawa inisiatif seperti itu membuktikan pendidikan tidak semestinya memerlukan ruang rasmi. 

“Kadang-kadang, perubahan bermula daripada tikar kecil di tepi jalan,” tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram