LEGENDA penyanyi negara, Datuk Sheila Majid, berkongsi khabar gembira mengenai pernikahan anak lelakinya, Megat Abdul Majid, bersama pasangan pilihan hati, Rashiqah Qahirah, dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung penuh sederhana baru-baru ini.
Berita gembira itu dimaklumkan sendiri olehnya melalui satu hantaran yang dimuat naik di Instagram pada Ahad.
Dalam perkongsian tersebut, Sheila Majid memaparkan beberapa keping gambar yang merakamkan detik-detik penting majlis termasuklah ketika pasangan mempelai sedang melafazkan ikrar perkahwinan di sebuah masjid.
Sheila yang anggun mengenakan persalinan kebaya moden berwarna coklat turut menyertakan kapsyen panjang meluahkan rasa syukur dan doa buat permulaan baharu dalam hidup anaknya.
"Syukur Alhamdulillah! ALLAH S.W.T telah permudahkan segalanya. Aamiin," tulis Sheila memulakan hantarannya penuh emosional.
Beliau kemudiannya merakamkan ucapan tahniah kepada pasangan pengantin baharu itu.
"Setinggi-tinggi tahniah kepada anak saya Megat Abdul Majid dan isteri Rashiqah Qahirah atas pernikahan mereka."
Lebih menyentuh hati, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sinaran itu turut mendoakan agar ikatan perkahwinan tersebut kekal abadi hingga ke akhir hayat.
"Semoga kesatuan ini akan kekal diuji oleh masa sehingga ke akhir waktu, InshaALLAH. Mama selalu mendoakan yang terbaik buat kamu.
"Ini adalah permulaan baharu. Sayang kamu!"
Hantaran istimewa tersebut turut mendapat perhatian daripada rakan-rakan artis yang meninggalkan ucapan tahniah di ruangan komen.
Antara yang dilihat mengucapkan selamat adalah penyanyi tersohor, Anuar Zain, yang menulis ringkas, "Tahniah Megat Tahniah Sheila,” menunjukkan keakraban hubungan mereka.
Rata-rata peminat turut membanjiri ruangan komen dengan mendoakan agar rumah tangga Megat Abdul Majid dan Rashiqah Qahirah sentiasa diberkati, kekal bahagia, dan mawaddah sentiasa mekar dalam perhubungan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
