LULUH hati calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas mendapati ibunya telah meninggal dunia sebaik pulang dari sekolah pada hari kedua peperiksaan bertulis.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan di media sosial, remaja yang dikenali sebagai Rania itu kelihatan berjalan longlai memasuki rumah sebelum menangis teresak-esak sambil dipeluk seorang ahli keluarga.
Difahamkan, berita pemergian ibunya, Siti Rohani Mohammad Dom, 46, hanya dimaklumkan kepada Rania selepas dirinya selesai menduduki peperiksaan.
“Kami tunggu Rania, anak tunggal adik bongsu kami, balik dari sekolah habiskan SPM.
"Sampai di rumah baru kami maklumkan ibu Rania sudah tak ada,” tulisnya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam turut menziarahi jenazah Allahyarhamah Siti Rohani, yang difahamkan merupakan rakan seperjuangan beliau.
Polis Daerah Dang Wangi menerusi satu hantaran di Facebook rasmi memaklumkan, Siti Rohani meninggal dunia pada 26 November lalu pada pukul 10.04 pagi akibat komplikasi kanser payudara.
"Bacaan tahlil dan Yassin turut diadakan, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Kuala Lumpur.
“Seluruh warga Polis Dang Wangi berdoa agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan semoga keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan ini,” menurut hantaran itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
