Isteri belum 'kuat' kemas barang, masih kenang bertahun jaga arwah suami terlantar alami hidrosefalus


  • Cinta
  • Sabtu, 29 Nov 2025

Nurul mengakui setiap inci ruang itu masih tersimpan kemas memori terakhir arwah, walaupun arwah suaminya sudah meninggal sejak 11 November lalu.

HATI seorang isteri yang pernah menjaga suaminya siang dan malam lebih tiga tahun ternyata masih belum mampu pulih.

Itulah diluahkan oleh pengguna Threads, Nurul Nadia yang kehilangan suami tercinta sejak 11 November 2025.

Dalam hantaran itu, Nurul memuat naik gambar bilik mereka sambil mengakui setiap inci ruang masih tersimpan kemas memori terakhir arwah.

“Setiap hari di sini tidur saya, suami dan anak-anak satu bilik. Paa… tunggu saya datang cantikkan kubur papa tau. Sampai sekarang aku masih tak kemas lagi barang-barang dia," katanya.

BACA LAGI: Mahu selamatkan perkahwinan? Bersedia untuk ‘adjust’, ‘upgrade’ dan ‘downgrade’

BACA LAGI: Disangka sudah meninggal, wanita terlantar 2 tahun kejutkan semua apabila ‘bangun’ di dalam keranda

Suaminya disahkan menghidap Arteriovenous Fistulas (AVF) dan hidrosefalus, iaitu masalah saraf otak akibat lebihan cecair pada kepala.

Sejak 14 Mei 2022, beliau terlantar dan memerlukan penjagaan rapi 24 jam.

Nurul adalah tulang belakang segalanya. Dalam sebuah video turut dikongsi di media sosial, Nurul terkenang detik-detik terakhir bersama arwah suaminya.

“3 tahun 5 bulan, 24 jam awak dengan saya sejak awak sakit… tapi bila awak tak ada, sunyi.

"Terima kasih pa sebab dah kuat lawan sakit awak selama ni. Saya sayang awak sangat-sangat," katanya.

Selepas pemergian suaminya, Nurul kembali berkongsi pesanan penuh makna kepada orang ramai.

Katanya, pengalaman menjaga suami sejak 2022 sehingga ke saat terakhir membuka mata betapa pentingnya menghargai pasangan selagi masih ada di sisi.

Nurul beranggapan bahawa rezeki dan ketenangan rumah tangga banyak datang daripada pasangan dan kerana itu setiap salah faham wajar diperbaiki sebelum terlambat.

"Sebab bila dah jadi macam sekarang, akan rasa menyesal dan rindu kenangan yang susah nak diulang.

“Kita tak tahu apa yang akan jadi esok," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram