DALAM kesibukan rutin harian, kita sering terlupa menghargai perkara kecil yang mewarnai hidup.
Begitu juga bagi sosok bergelar anak seni yang sentiasa berdepan jadual kerja padat dan tekanan kerjaya.
Pelakon Eyka Farhana tidak terkecuali apabila berkongsi rasa syukur terhadap momen harian yang kelihatan biasa, namun sebenarnya sangat bermakna dalam hidupnya.
Dalam satu hantaran di akaun Threadsnya pada Khamis, Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 30, mengakui kadang-kadang beliau terlupa untuk mensyukuri nikmat yang dimiliki.
Katanya, rutin itu mungkin tampak kecil, tetapi menjadi antara perkara yang menguatkan semangatnya setiap hari.
"Kadang-kadang saya lupa bersyukur masih diberi peluang bangun tidur tengok mama, adik-beradik buat bising pagi-pagi dan cuba bahagiakan saya setiap masa.
"Ada suami yang sentiasa cuba buat isteri dia bahagia dan kawan-kawan yang baik dan ikhlas," katanya.
Menurutnya, perkara kecil dalam hidup juga wajar dihargai kerana memberi kesan besar kepada kesejahteraan diri, terutama apabila seseorang melalui fasa yang mencabar atau tekanan dalam kerjaya.
"Alhamdulillah, syukur masih diberi kesempatan untuk merasa semua ini. Insya-ALLAH semoga berkekalan.
"Sebenarnya, perkara yang paling kecil dalam hidup juga wajar dihargai," katanya lagi.
Untuk rekod, Eyka dan pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashidsah bergelar suami isteri dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung pada 2 Mei 2025.
Majlis akad nikah berlangsung secara tertutup di Boathouse By The Lake Ampang, Selangor itu disaksikan oleh kedua-dua belah keluarga mempelai serta kenalan rapat mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
