Kalau tak kahwin, siapa nak jaga bila tua? Perancang kewangan beri jawapan untuk persediaan masa depan


  • Cinta
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Merancang kewangan dari awal membolehkan kita menjaga diri sendiri apabila usia meningkat, tanpa membebankan anak-anak. — Gambar hiasan

PERSOALAN tentang siapa akan menjaga apabila kita tua sering menjadi topik hangat, terutama bagi mereka yang masih bujang atau belum bertemu jodoh sehingga lanjut usia.

Justeru, berikutan isu tersebut seorang perancang kewangan, Rafiq Hidayat Mohd Ramli berkongsi pandangan di Facebook mengenai isu ini sehingga mendapat perhatian ramai.

Dalam hantaran itu, beliau menceritakan pengalaman kerjanya yang unik.

BACA LAGI: Mahu selamatkan perkahwinan? Bersedia untuk ‘adjust’, ‘upgrade’ dan ‘downgrade’

BACA LAGI: Disangka sudah meninggal, wanita terlantar 2 tahun kejutkan semua apabila ‘bangun’ di dalam keranda

Bersama rakan-rakan di rumah orang tua memberi peluang untuk menikmati persaraan dengan ceria dan penuh persahabatan. — Gambar hiasan

Rafiq Hidayat berkata, ramai klien bertanya siapakah sosok yang akan menjaga apabila mereka sudah tua.

Menurut beliau, kunci utama adalah merancang agar dapat menjaga diri sendiri.

“Dengan perancangan yang betul, kita mempunyai kewangan yang cukup untuk menguruskan diri sendiri tanpa menyusahkan anak-anak apabila sudah tua. Kalau mereka nak menjaga, itu terpulang,” jelas beliau.

Pilihan kini juga semakin pelbagai. Bagi mereka yang tidak mahu bergantung kepada anak atau pasangan, terdapat pelbagai kemudahan warga emas pada bayaran sekitar RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

Ada juga berpakat dengan rakan-rakan rapat untuk tinggal bersama-sama atau memilih gaya hidup lebih aktif.

"Ada klien berpakat nanti nak masuk rumah orang tua dengan kawan-kawan rapat. Jadi ada geng nak lepak sama-sama bila dah tua nanti.

"Ada satu pasangan ini naik cruise sepanjang tahun sebab lagi murah dari duduk retirement home," katanya.

Individu bujang juga boleh merancang masa depan dengan bijak melalui pengurusan kewangan yang teliti, memastikan kehidupan selesa bila tua nanti. — Gambar hiasan

Pandangan berkenaan turut disokong oleh ramai warga maya yang berkongsi pengalaman peribadi mereka.

Antaranya, Dasila berusia 55 tahun dan masih bujang berkata, beliau memilih untuk menikmati hidup sepenuhnya.

“Saya plan sendiri, termasuk senarai rumah orang tua yang akan saya pergi nanti. Doa semoga ALLAH merahmati dan melindungi kita. Kita cuma plan, ALLAH yang terbaik merancang," katanya.

Pengguna lain, Dionz Goh Official beranggapan bahawa berkahwin tidak semestinya menjamin penjagaan ketika tua.

“Jangan terlalu tinggi harapan. Ada anak atau pasangan pun belum tentu dapat jaga kita seperti yang kita harapkan," katanya.

Sha Nordin pula menegaskan, anak bukanlah pelan persaraan.

“Kahwin dan ada anak bukan retirement plan. Kena ikhlas besarkan anak, jangan harapkan apa-apa balasan. Banyak pilihan lain seperti rumah orang tua, dan kita boleh ada kawan-kawan bila tua nanti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram