MELIHAT keputusan peperiksaan anak yang tidak pernah stabil sejak darjah satu, seorang ibu akhirnya nekad mengambil alih peranan sebagai 'cikgu' di rumah demi memastikan permata hatinya itu benar-benar memahami asas pelajaran.
Dalam satu hantaran tular di Threads, wanita itu berkongsi perjalanan enam tahun penuh cabaran apabila anaknya sering memperoleh keputusan 'A hingga Z, termasuk banyak kali gagal terutama dalam subjek Matematik dan Bahasa Melayu.
"Sepanjang darjah 1 hingga darjah 6, berpuluh kali saya urut dada tengok keputusan anak sendiri.
"Gred dari A sampai Z ada. Gagal pun banyak kali, especially Math dan BM. Tuisyen pun saya hantar tapi tahun lepas keputusan tetap sama," katanya.
Menurutnya, anaknya memang sukar memahami pelajaran meskipun sudah mengikuti kelas tambahan.
Keadaan itu membuatkan beliau akhirnya mengambil keputusan untuk mengajar sendiri, bermula dari asas sejak Julai lalu.
"Sebabnya dia memang blur, tak faham. Jadi tahun ini, bermula bulan Julai, saya yang take over ajar dari asas," ujarnya.
Usaha itu membuahkan hasil apabila anaknya berjaya memperoleh keputusan 9A dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan menerima Anugerah Pencapaian Akademik Terbaik.
"Usaha kerasnya akhirnya membuahkan hasil," tulisnya sambil menzahirkan rasa bangga terhadap perubahan anaknya.
Dalam hantaran yang disertakan dengan beberapa keping foto termasuk video memaparkan anaknya menerima anugerah tersebut, beliau turut memberi pesanan kepada ibu bapa lain agar tidak terlalu tertekan jika melihat keputusan anak turun naik.
"Jadi mommies, jangan stres kalau tengok result A sampai Z. Duduk semeja dan 'scan' yang mana dia lemah," katanya.
Beliau turut berkongsi beberapa tip yang diamalkannya ketika mengajar anaknya di rumah:
Matematik
- Wajib hafal sifir.
- Tetapkan masa dan minta anak baca setiap hari supaya lama-kelamaan lebih mudah mengingat.
- Ajar semula dari asas darjah dua.
- Buat latihan yang sama berulang kali sehingga familiar sebelum beralih ke latihan lain.
- Teruskan juga kelas tuisyen Matematik tahun enam.
Bahasa Melayu
- Wajib membaca karangan untuk biasakan diri dengan ayat dan penggunaan kata hubung.
- Kuasai peribahasa dan simpulan bahasa.
Persediaan peperiksaan
- Ingatkan anak untuk meminta cikgu menghalalkan ilmu.
- Minta maaf kepada guru dan rakan-rakan sebelum peperiksaan.
Beliau juga berharap perkongsian itu dapat membantu ibu bapa lain yang berdepan situasi sama.
"Harap ini dapat membantu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
