'Pentingnya gali ilmu semasa hamil', wanita bantu 'first time mom' panik, tertekan bayi kerap menangis di wad


  • Bonda
  • Isnin, 24 Nov 2025

Pengalaman di wad menunjukkan ibu baru perlu bersedia dan kuasai ilmu asas penjagaan bayi sejak mengandung."

BAYI menangis tanpa henti di wad bukan perkara asing, bahkan membuatkan si ibu, terutamanya yang pertama kali bergelar ibu cepat berasa panik.

Bau-baru ini, seorang wanita berkongsi pengalaman membantu ibu muda di wad hospital membuka mata tentang betapa pentingnya menggali ilmu asas penjagaan bayi sejak hamil.

Menerusi hantaran di Threads, beliau menceritakan momen apabila berjiran dengan wanita pertama kali bergelar ibu sedang panik mengurus bayinya yang kerap menangis.

BACA LAGI: 'Kali ini jauh lebih buruk', pelajar UMK Kampus Kota redah banjir, selamatkan 'laptop', buku

BACA LAGI: Lepas ayah kahwin lain, mak jadi sunyi hingga 'makan diri', anak tekad berubah, kini ibu kembali senyum

"Saya dengar bayi itu sedu dan ibu nampak tertekan, tidak tahu nak buat apa. Kalau siang, anak melalak, anak saya turut terjaga. Saya pun rasa tertekan," katanya.

Tidak tahan melihat situasi berkenaan, beliau mengambil inisiatif membantu dengan bertanya sama ada ibu baharu itu mempunyai minyak angin atau sebaliknya.

"Dia cakap tak ada. Saya pun ambil minyak telon dan urut anaknya sampai buang angin," ceritanya menambah, bayi tersebut akhirnya berhenti menangis.

Selepas itu katanya, ibu muda itu menangis tanda syukur dan cuba memberi hadiah, tetapi wanita berkenaan menolak.

"Selepas urut dan burp (sendawa) bayi itu, dia berhenti menangis. Ibu muda itu menangis dan ingin beri hadiah, tetapi saya kata tidak perlu, saya sudah ada banyak di rumah," jelasnya.

Tambahnya, ketika ibu tersebut hendak discaj, anaknya menangis lagi kerana tidak dibedung.

Dengan pantas, beliau menunjukkan cara bedung bayi sehingga bayi itu senyap.

"Saya tanya kenapa tak bedung. Ibu muda itu kata hospital suruh tinggal kain itu. Saya cakap, bila nak balik, kena pakai kain sendiri.

"Baru dia suruh suaminya ambil kain lampin di kereta dan saya bedung barulah bayi senyap," ujarnya.

Pengalaman sama turut berlaku dengan ibu lain yang berada di katil hadapan yang mana anaknya perlu menerima antibiotik dan tidak berada bersamanya.

Wanita berkenaan tetap menjadi tempat rujukan, berkongsi barangan bayi dan memberi nasihat asas penjagaan bayi.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian daripada warga maya yang menzahirkan penghargaan atas tindakannya.

"Memanglah pertama kali jadi ibu, tapi sepanjang mengandung tidak cuba gali ilmu ke?

"Kami pun pernah melalui fasa pertama kali jadi ibu, tapi tidaklah kelam-kabut macam itu. Tapi sis mantap! Terima kasih kerana tolong mereka," tulis @nurauniazman.

"Sis boleh buat bisnes lawat first time mom dekat hospital. Namakan bisnes itu 'Hello Baby!'" seloroh @falah_nordin.

Sementara itu, ada juga yang berkongsi pengalaman serupa mereka sebagai ibu pertama kali yang dibantu oleh orang sekelilingnya.

"Terbaik sis! Wanita saling memperkasakan wanita. Memang ibu pertama kali akan panik kalau bayi asyik menangis.

"Teringat pengalaman najis bayi saya berwarna hitam, saya bawa ke tandas tapi masuk balik, akak katil depan tanya kenapa.

"Saya tak tahu cara nak basuh bayi di sink, akhirnya dia yang tolong. Lepas itu bayi saya senyap," komen @liyazulkifli. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram