MEMBINA rumah impian mengikut cita rasa peribadi sememangnya memberikan kepuasan.
Mahu bilik yang besar, ruang tamu luas atau dapur idaman segalanya boleh direalisasikan.
Namun, pengasas Strategi Pejuang Hartanah dan pelabur hartanah berpengalaman selama 17 tahun, Ahyat Ishak, memberi amaran keras kepada umum agar berfikir jauh sebelum terlalu 'memperibadikan' reka bentuk rumah yang dibina sendiri.
BACA LAGI: Dunia cinta dah terbalik, curang dianggap normal, terlalu setia 'pencapaian' luar biasa!
BACA LAGI: Kecil-kecil cili padi, Raihan raih untung lepas cipta dakwat guna sisa kulit bawang putih
Menurut Ahyat, yang memulakan perniagaan sejak 1999 dan membeli hartanah pertama pada 2003, risiko besar menanti pemilik rumah yang terlalu mengikut kehendak cita rasa sendiri, terutamanya apabila rumah itu perlu dijual semula pada masa hadapan.
"Kadang-kadang bila dah siapkan rumah ini, kita kena fikir, rumah ini jangka hayat lebih panjang daripada penghuninya," ujar Ahyat.
Ahyat berkongsi pengalaman beliau membantu seorang wanita status Puan Sri yang kematian suami untuk menjual kediaman mewah mereka di kawasan Tropicana, Petaling Jaya, Selangor.
Rumah tersebut dibina di atas tanah yang luas dengan binaan sangat besar.
Bayangkan di tingkat atas rumah itu hanya terdapat tiga bilik iaitu kamar utama, bilik anak tunggal dan bilik pembantu rumah.
Selain itu, bilik utama kediaman tersebut dilaporkan terlalu besar sehingga menyebabkan reka bentuk rumah menjadi tidak seimbang.
"Rumahnya sangat indah dekat Tropicana. Tanahnya luas, rumah besar dan bilik terlalu besar," ujarnya.
Ketika ingin menjual rumah itu harga RM5 juta, isu yang timbul bukanlah harga jualannya terlalu tinggi, sebaliknya reka bentuk terlalu peribadi.
"Nak jual RM5 juta, bukan kerana susah nak jual. Tapi kerana reka bentuk terlalu 'custom',” tegas Ahyat.
Apabila sesebuah rumah dibina terlalu mengikut cita rasa peribadi, individu kedua atau pembeli akan datang selalunya tidak berminat kerana reka bentuk tidak menepati keperluan majoriti pasaran.
Meskipun seronok kerana dapat memiliki bilik dan ruang mengikut cita rasa sendiri, Ahyat mengingatkan para pembina rumah bahawa mereka perlu memikirkan bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga hari esok.
"Inilah risiko apabila terlalu peribadikan rumah. Untuk jangka panjang, rumah bukan hanya untuk kita, tapi buat generasi seterusnya dan pasaran akan datang," nasihatnya.
Justeru, Ahyat menasihatkan sesiapa sahaja bercadang membina atau membeli rumah agar sentiasa memikirkan bagaimana aset tersebut akan diwariskan kepada generasi akan datang.
"Bila bina atau beli rumah, fikirkan bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga untuk esok," simpulnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
