Hasrat pelajar sambung belajar di KV diperlekeh rakan sebaya, alumni tampil 'share' kejayaan, sijil laku di pasaran


  • Bonda
  • Selasa, 18 Nov 2025

Ramai pelajar lulusan Kolej Vokasional mampu menjejakkan kaki ke laluan profesional berprofil tinggi.

HASRAT seorang pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di Kolej Vokasional (KV) menjadi perbualan hangat selepas ramai warga maya berkongsi kelebihan mengikuti bidang kemahiran yang ditawarkan di tempat itu.

Dalam hantaran di Threads, gurunya, Nuramalinaisya berkata, pelajar tersebut berdepan tekanan rakan sebaya yang memperlekehkan pilihannya kerana beranggapan mengikuti KV hanya membuatkan pelajar berkenaan tiada SPM.

Bagaimanapun, Nuramalinaisya menegaskan bahawa KV bukan laluan pendidikan kelas kedua.

BACA LAGI: Tak kisah kena 'posting' jauh, suami isteri bergelar guru dedah cabaran mengajar di pedalaman

BACA LAGI: Ini usaha kerajaan China pastikan pelajar tidak dibebani pembelajaran berlebihan, elak tekanan, kemurungan

Dengan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) setaraf SPM dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bernilai tinggi dalam industri, pelajar KV memiliki gabungan sijil yang mampu membawa mereka terus memasuki pasaran kerja atau menyambung pengajian ke peringkat diploma dan ijazah.

Beberapa alumni KV tampil memberikan sokongan dan berkongsi kejayaan mereka sebagai bukti bahawa laluan vokasional mampu membuka banyak peluang.

Warga maya, Fazerah Taib mendedahkan bahawa adik-beradiknya yang merupakan lulusan KV kini berada pada laluan kerjaya yang baik.

“Adik-adik saya semua produk KV. Seorang sambung belajar sampai peringkat ijazah, seorang lagi lepas diploma terus dapat kerja. Memang tak rugi pun masuk KV," katanya.

Pengguna lain, Puteri Saidatul pula memuat naik gambarnya bersama pencapaian akademik yang dibina bermula dari KV.

“Saya batch ketiga KV. Alhamdulillah, tamat Diploma dengan CGPA 3.93 dan SPMV cemerlang. Ilmu dari KV saya gunakan untuk bina perniagaan.

"Dalam masa sama saya mohon sambung ijazah melalui UPU dan berjaya tamat pengajian dengan keputusan cemerlang serta menerima Anugerah Khas Universiti," katanya.

Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum ini turut mengetengahkan kejayaan Puteri sebagai pengasas sebuah studio fotografi, Ptryali Studio yang kini menjana pendapatan melebihi RM10,000 sebulan.

Pengguna lain, Alimi Othman turut berkongsi data yang menunjukkan betapa tingginya kebolehpasaran graduan KV.

“Sebanyak 99.7 peratus pelajar KV mendapat kerja sebaik tamat pengajian. Dalam banyak kes, 88.5 peratus sudah ditawarkan kerja sebelum habis belajar.

"Graduan TVET dan KV memang sangat dicari. Malah, universiti seperti UM dan beberapa Institut Pendidikan Guru (IPG) kini menerima pelajar lulusan KV," katanya.

Beliau turut menyebut anak perempuannya yang tamat SVM dan SKM Tahap 3 terus menyambung diploma dalam bidang perakaunan.

Individu lain, Wagya Maya turut berkongsi kisah kejayaan beberapa pelajar jurusan KV yang pernah menjadi pelatihnya.

“Saya pernah menerima enam pelatih dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), semuanya lepasan KV. Selepas tamat latihan industri setahun, kesemuanya terus mendapat tawaran kerja. Kini mereka bekerja sebagai jurutera yang berjaya dan kompeten," katanya.

Seorang ibu, Aya Chalo pula berasakan bahawa permintaan untuk memasuki KV kini semakin tinggi.

“Sekarang nak masuk KV pun berebut, terutama bidang yang ‘panas’ seperti elektrik dan automotif. Pelajar KV mungkin tiada SPM, tetapi mereka ada SVM yang setaraf SPM dan SKM. Habis SVM sahaja mereka sudah bersedia untuk bersaing dalam pasaran kerja. Pelajar SPM tak ada kelebihan itu.”

Deborah Sian turut berkongsi kisah anak buahnya yang membuktikan lulusan KV mampu menjejakkan kaki ke laluan profesional berprofil tinggi.

“Anak buah saya lepasan KV Automotif dengan keputusan 3.90 ke atas. Sekarang dia sambung dalam bidang Jurutera Pesawat Berlesen CAAM Bahagian 66 di ADMAL, Sepang, Selangor. Laku keras sijil KV kalau minat, rajin dan komited," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram