Ini usaha kerajaan China pastikan pelajar tidak dibebani pembelajaran berlebihan, elak tekanan, kemurungan


  • Sihat
  • Jumaat, 14 Nov 2025

Kerajaan China mengumumkan rangkaian dasar baharu yang menyasarkan pengurangan tekanan akademik dan ketagihan skrin di sekolah-sekolah seluruh negara. — Agensi

DALAM usaha membendung krisis kesihatan mental dalam kalangan pelajar, kerajaan China mengumumkan rangkaian dasar baharu yang menyasarkan pengurangan tekanan akademik dan ketagihan skrin di sekolah-sekolah seluruh negara.

Langkah baharu ini diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan selepas peningkatan kebimbangan terhadap tabiat belajar berlebihan, kurang tidur dan pergantungan kepada gajet dalam kalangan pelajar. 

Antara peraturan utama yang dikuatkuasakan ialah larangan membawa telefon bimbit ke dalam bilik darjah serta pelaksanaan tempoh tanpa skrin bagi memastikan pelajar tidak terlalu bergantung kepada internet.

BACA LAGI: Tingkatkan ilmu, belajar cintai diri agar rumah tangga dibina terus harmoni, bahagia — Dr. Muhaya

BACA LAGI: 'Jangan biasakan anak guna barang bukan milik kita', peringatan Farah Lee buat ibu bapa

Sekolah di negara itu turut diarahkan mengehadkan jumlah kerja rumah dan menyediakan sekurang-kurangnya dua jam aktiviti fizikal setiap hari. 

Usaha ini bertujuan membantu pelajar mengurangkan tekanan, meningkatkan kecergasan dan memberi ruang kepada mereka untuk berehat daripada beban akademik.

Di samping itu, pihak sekolah digalakkan menyusun jadual harian dengan lebih teratur, termasuk waktu ketibaan, waktu pulang dan rehat tengah hari yang lebih munasabah. 

Langkah ini diambil bagi memastikan pelajar mendapat tidur mencukupi, sekali gus membantu mengurangkan masalah kebimbangan dan kemurungan yang semakin ketara.

Menurut laporan, kerajaan China juga menekankan bahawa peraturan berkaitan tidur dan beban akademik perlu dikuatkuasakan dengan lebih tegas.

Ini termasuk membendung amalan belajar berlebihan yang sering berlaku, terutama menjelang musim peperiksaan.

Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan turut memperkenalkan dasar untuk mengurangkan beban kerja guru, antaranya mengehadkan tugasan di luar waktu sekolah serta menghalang mereka daripada bekerja pada hujung minggu dan cuti umum.

Walaupun China sebelum ini telah menggubal undang-undang pada 2021 untuk mengurangkan kerja rumah dan mengharamkan tuisyen bagi mata pelajaran teras, ramai ibu bapa masih memilih untuk menghantar anak mereka ke kelas tambahan demi meningkatkan peluang akademik masing-masing.

Melalui rangkaian dasar baharu ini, kerajaan berharap dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih seimbang di mana kecemerlangan akademik dicapai tanpa mengorbankan kesihatan mental dan kesejahteraan pelajar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram