TIDAK semua ibu bergantung kepada pembantu rumah untuk memastikan kehidupan keluarga berjalan lancer.
Bagi pelakon, Elfira Loy, 31, segala rutin harian meliputi urusan anak, rumah hingga ke kerjaya, semuanya dilakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa.
Berkongsi pengalamannya di akaun Threads beliau, ibu kepada dua orang anak itu berkata, beliau pernah beranggapan hanya wanita yang mempunyai pembantu atau pemandu mampu menguruskan segalanya dengan baik.
Namun, pandangan itu berubah selepas dirinya mendekati lebih ramai ibu dan melihat sendiri bagaimana mereka mengatur kehidupan seharian.
"Dulu saya pernah terfikir, ‘orang lain bolehlah sebab mereka ada helper, mereka driver’. Tapi bila saya makin banyak berhubung dengan ibu-ibu lain, barulah saya sedar ramai wanita sebenarnya mampu buat semua sendiri.
"Tak ada yang luar biasa bagi mereka sebab semuanya dah jadi rutin," kata bintang utama drama Di Sebalik Kasyaf (2021) itu.
Jelasnya, pengalaman itu membuatkan beliau berhenti mencari pembantu rumah dan memilih untuk menguruskan sendiri setiap urusan di rumah.
"Sebab itu saya berhenti mencari pembantu rumah. Saya memang buat semua sendiri. Bangun pagi mandikan anak, siapkan mereka ke sekolah, sediakan sarapan pagi, hantar dan ambil sekolah, kemas rumah, masak, lipat baju," katanya menambah, beliau masih boleh pergi bersukan, kafe dan bekerja seperti biasa meski sibuk jalankan tanggungjawab sebagai isteri.
Menurutnya lagi, apa yang dianggap 'luar biasa' oleh sesetengah orang sebenarnya perkara biasa bagi ramai wanita lain yang sudah terbiasa dengan rutin tersebut.
"Dalam kelompok saya, semua perkara itu tak unik pun. Semuanya rutin yang dah biasa dibuat.
Elfira turut menambah, rahsia untuk mampu melakukan semua tanggungjawab itu terletak pada cara menyusun masa dan mencari sistem yang sesuai.
"Saya banyak belajar dengan cara memerhati dan membandingkan bagaimana orang lain urus masa dan keluarga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
