'Aktiviti fizikal waktu malam jadi penyebab, tidak tepat', Dr. Beni Rusani jelaskan punca sebenar di sebalik kematian mengejut di gelanggang badminton


  • Sihat
  • Sabtu, 01 Nov 2025

Ramai mendedahkan kes kematian melibatkan permainan badminton pada waktu malam.  — Gambar hiasan

SEJAK berita pemergian mengejut suami kepada pempengaruh, Farah Fakhira yang rebah ketika bermain badminton pada malam Khamis, ramai warga maya mudah mendedahkan kes serupa. 

Beberapa individu mula mula mempersoalkan punca di sebalik peningkatan kes kematian ketika bermain badminton, terutama pada waktu malam.

Seorang pengguna Threads, Haneem Shafiq turut melontarkan persoalan sama.

“Sebenarnya banyak tahu kes meninggal masa main badminton. Apakah penjelasan saintifik di sebaliknya?” tulisnya.

BACA LAGI: ‘Sempat bergurau Subuh itu, Asar dia sudah tiada’, adik pergi mengejut dalam dakapan ibu, kakak kongsi sifat arwah yang dirindui

BACA LAGI: Siang sempat keluar makan bersama, malam suami dijemput Ilahi, tak sempat tatap wajah anak sulung

Persoalan itu menarik perhatian pakar kardiologi, Dr. Beni Rusani yang tampil menjelaskan perkara sebenar di ruangan komen.

Menurut beliau, kematian mengejut semasa bersukan lazimnya berpunca daripada serangan jantung (cardiac arrest) akibat penyakit jantung tersembunyi, bukan kerana aktiviti fizikal dilakukan pada waktu malam.

"Cardiac arrest kemungkinan besar disebabkan serangan jantung iaitu ada ‘silent disease’, plak dalam arteri jantung. 

"Bukan sebab bersenam malam, cuma kebetulan ramai bersenam waktu itu sebab siang di pejabat,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan agar individu berusia 30-an ke atas memastikan rehat mencukupi dan melakukan pemeriksaan kesihatan berkala.

“Pastikan cukup rehat dan buat pemeriksaan, terutama kalau kolesterol dah tinggi atau cepat penat bila bersenam,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, ramai individu lain berkongsi kisah kehilangan yang hampir sama iaitu semuanya berkait kes di gelanggang badminton.

Seorang wanita, Amirah Mansor mendedahkan dua ahli keluarganya meninggal dunia dalam keadaan hampir sama.

“Keluarga saya pun dah dua orang, seorang pakcik dan seorang sepupu.

"Dua-dua meninggal masa main badminton malam lepas balik kerja. Umur pun muda, 30-an dan awal 40-an,” katanya.

Kisah itu membuka mata ramai bahawa walaupun badminton dianggap sukan ringan dan santai, ia tetap berisiko bagi individu yang mempunyai masalah jantung tersembunyi, terutama apabila tubuh berada dalam keadaan letih selepas seharian bekerja.

Tak sangka pelanggan rupanya arwah Zaidul

Di Facebook pula, seorang wanita, Zarina berkongsi pengalaman peribadi yang menyentuh hati.

Katanya, arwah Zaidul, suami kepada Farah Fakhira ada menyewa kereta daripadanya beberapa hari sebelum kejadian.

“Terkedu kejap. Khamis baru muat naik hantaran di Facebook tentang pelanggan sewa kereta untuk appointment klinik.

"Baru saja saya doakan semoga dia baik-baik. Tup-tup pagi ni masa urus pemulangan kereta, saya dapat mesej beritahu lelaki tu dah tiada,” katanya merujuk kepada arwah Zaidul). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram