PADA awal perkahwinan, semuanya tampak indah. Pasangan sering berkongsi detik bahagia di media sosial seperti majlis pernikahan, rutin bersama keluarga dan percutian romantik.
Namun apabila rumah tangga mula goyah, ada yang memilih untuk mendedahkan sisi buruk pasangan, seolah-olah mahu dunia tahu siapa yang bersalah.
Persoalannya, wajarkah hal peribadi dibuka kepada umum selepas berpisah atau semasa berdepan rumah tangga bergolak?
BACA LAGI: Wanita kaya naik Bentley pergi kerja cuci pinggan di restoran, bosan duduk rumah

Siti Hariesa (kiri) dan Nur Afifah berpendapat bahawa masalah rumah tangga sebaiknya diselesaikan secara peribadi. — Instagram selebriti
Sehubungan itu, Majoriti menemu bual ringkas beberapa wanita bagi mendapatkan pandangan mereka.
Bagi penyanyi, Atilia Haron, 51, beliau tidak menafikan budaya berkongsi masalah peribadi secara terbuka semakin membimbangkan.
"Saya percaya tidak salah berkongsi masalah, tetapi biarlah dengan orang terdekat. Sekarang budaya komen negatif dah terlalu toksik.
"Kita sepatutnya lebih fokus kepada karya, bukan kisah peribadi," katanya sambil menasihatkan agar masyarakat berhenti 'menjaga tepi kain orang'.
Bagi pelakon berusia 27 tahun, Siti Hariesa pula, hal rumah tangga seharusnya kekal peribadi.
"Lebih baik simpan untuk diri sendiri. Kalau terlalu banyak dikongsi, orang akan beri pendapat macam-macam. Yang penting, ambil pendapat yang membina saja,” katanya menambah, setiap perkahwinan pasti ada dugaan dan paling penting ialah mengekalkan pemikiran positif dalam menghadapi ujian rumah tangga.
Begitu juga dengan pelakon, Datin Elvina Mohamad, 30, yang menekankan kepentingan menjaga maruah bekas pasangan.
"Apabila dah tak bersama, lagi-lagi kalau dah ada anak. Tak perlu buka aib sebab netizen tak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
"Lebih baik selesaikan sesama sendiri untuk elak pelbagai spekulasi daripada masyarakat," ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah. — Instagram/@fadzilahkamsah
Beliau juga menitip pesan kepada masyarakat untuk tidak membuat sebarang komen negatif yang boleh mendatangkan rasa tidak sedap hati kepada individu terlibat dalam masalah rumah tangga.
Senada dengan yang lain, pempengaruh kecantikan, Nur Afifah turut bersetuju bahawa media sosial bukan platform terbaik untuk meluahkan masalah rumah tangga.
"Apabila dah muat naik, memang tak boleh tarik balik. Jadi kalau boleh, selesaikan secara peribadi. Kecuali kalau dah tahap terpaksa sangat, barulah pertimbangkan," katanya.
Sementara itu, isu pendedahan hal rumah tangga di media sosial turut mendapat perhatian pendakwah terkenal, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah.
Beliau dalam satu hantaran di Threads menasihatkan agar setiap pasangan lebih berhati-hati dalam berkongsi urusan peribadi secara terbuka.
"Nak, simpan elok-elok masalah rumahtanggamu. Aib pasangan yang tersebar sebenarnya membuka juga aib dirimu. Hati-hati ya, nak," pesannya dalam hantaran berkenaan pada Jumaat.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
