'Rumah paling buruk' di AS kini berubah jadi mahligai 'pink' bernilai RM628,000


  • Hias
  • Rabu, 22 Okt 2025

Mays menunjukkan ruang matahari yang kini diubah menjadi bar mini rahsia dengan pintu tersembunyi, dihiasi warna merah jambu dan kertas dinding bercorak flamingo. — HGTV/TNS

DENGAN wajah ceria dan pembesar suara pada tangan, pengacara HGTV, Retta, bersama pereka hias dalaman terkenal, Alison Victoria, berdiri di beranda rumah milik Justine Mays di Upper Darby, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), sambil mengumumkan sesuatu yang luar biasa.

Mays secara rasmi dinobatkan sebagai pemilik "Rumah paling buruk di Amerika!"

Apakah faktor membuatkan kediaman itu ‘menang’? 

BACA LAGI: Panduan susun atur, pemilihan karya seni untuk hiasan dalaman, rumah persis galeri peribadi

BACA LAGI: Pottery DIY hasilkan item dekorasi rumah, perkakas dapur rekaan estetik, unik

Adakah kerana pintu digunakan sebagai hiasan, bukan laluan sebenar? Atau mungkin dinding dilapisi kotak cerut dan pemanggang dipasang di tingkat dua atau hanya boleh dicapai melalui tingkap? 

Jawapannya, semua sekali!

Mays terpinga-pinga sebaik sana mendengar pengumuman itu. 

Sewaktu konfeti berterbangan, air matanya menitis tanda terkejut bercampur gembira.

"Terima kasih banyak, saya rasa luar biasa dan sangat gembira," katanya sambil tersenyum lebar.

Keadaan dapur di rumah Mays sebelum proses ubah suai dijalankan. — HGTV/TNS

Mays yang membesar di West Philly, tidak pernah menyangka mampu memiliki rumah sendiri. 

Namun, pada 2022, hasil simpanan daripada kerjaya dalam industri biofarmaseutikal, beliau berjaya membeli rumah empat bilik tidur dan dua bilik air setengah berkeluasan 2,178 kaki persegi (202 meter persegi) dengan harga AS$184,000 (RM771,235).

Rumah itu sememangnya luar biasa di dinding hadapan terdapat mural pemandangan dasar laut dengan kapal selam dan kanak-kanak, sementara siling ruang masuk dipenuhi peta Mexico, Kanada dan Upper Darby.

Dinding ruang tamu pula dihiasi cermin penuh, mozek pelbagai warna serta botol kaca seperti minyak wangi dan gin Tanqueray yang dilekatkan terus pada dinding simen.

Antara keunikan lain ialah pulau dapur berukuran 3.9 meter persegi disaluti syiling dan nota wang dari seluruh dunia, diikat kemas dengan resin jernih memenuhi hampir 70 peratus ruang dapur.

Bagaimanapun, di sebalik keanehan itu, Mays terpikat dengan lantai kayu asli, ruang yang luas dan almari besar.

"Rumah ini memang pelik, tapi saya tak kisah. Saya cuma bersyukur dapat rumah sendiri," ujarnya.

A renovated bathroom in Justine Mays' Upper Darby home features the Mona Lisa blowing pink bubbles.Bilik air yang telah diubah suai di rumah Mays di Upper Darby menampilkan corak Mona Lisa meniup belon merah jambu. — HGTV/TNS

Menurut Mays, jiran dan ejen hartanah memaklumkan bahawa pemilik asal rumah itu menjalankan program seni untuk kanak-kanak, menjadikan rumah tersebut kanvas tiga dimensi untuk hasil karya mereka.

"Itulah sebabnya rumah ini begitu eklektik. Ironinya, tingkat atas nampak normal, tapi di bawah seperti pesta seni," katanya sambil ketawa.

Pada penghujung 2022, Mays menerima mesej daripada sebuah agensi penggambaran menawarkan peluang untuk muncul dalam program Ugliest House In America. 

Namun, kerana tidak pernah menonton rancangan itu beliau menganggap mesej berkenaan satu penipuan.

"Saya fikir ia scam, sudah tentu!" katanya berseloroh.

Selepas membuat semakan, Mays mendapati tawaran itu sah. 

Pihak produksi menjumpai rumahnya melalui senarai jualan lama di laman Zillow.

Selepas mendapatkan nasihat peguam, Mays bersetuju menandatangani kontrak dan bersiap sedia untuk berpindah keluar selama dua bulan sekiranya terpilih sebagai pemenang.

Dining room of The Collage Barrage home, as seen on Ugliest House In America, Season 6.Ruang matahari sebelum diubah suai dihiasi dengan kertas dinding daripada kotak cerut. — HGTV/TNS

Apabila pengacara Retta tiba di rumah Mays buat pertama kali, reaksinya tidak dapat disembunyikan. 

Antara komen spontan beliau termasuklah:

"Ini memang melampau!"

"Dapur ini huru-hara betul."

"Kenapa terlalu banyak pintu? Ada di siling, dinding, tapi tiada bilik!"

"Tempat ini betul-betul beri saya pening kepala!"

Rumah itu akhirnya digelar "Collage Barrage" oleh Retta, menewaskan rumah lain seperti kediaman bertemakan naga dan rumah Victorian penuh cherub.

Foyer of The Collage Barrage home, as seen on Ugliest House In America, Season 6.Ruang foyer dipenuhi pelbagai kolaj yang bercampur-aduk. — HGTV/TNS

Selepas diumumkan sebagai pemenang, Mays dan dua ekor kucing peliharaannya, Barry Allen dan Grayson, berpindah keluar selama lapan minggu. 

Alison Victoria dan pasukan produksi kemudian menjalankan proses ubah suai dengan bajet RM628,725.

Apabila Victoria bertanya warna kegemarannya, Mays hanya menjawab: "Merah jambu. Sebanyak mungkin."

Hasilnya, rumah Mays kini tampil dengan luaran hitam putih moden, beranda baharu lengkap pergola dan ruang dalaman bertemakan merah jambu elegan.

Ruang tamu dan dapur ditukar tempat, perabot utama seperti peti sejuk dan hud dapur dicat merah jambu, sementara bilik air bawah dihiasi kertas dinding potret Mona Lisa meniup belon merah jambu.

Lebih menarik, ruang matahari kini menjadi bar mini rahsia bertemakan flamingo merah jambu, mencipta suasana mewah dan unik.

Namun, sentuhan asal rumah masih dikekalkan dengan dinding bata dicat putih, tetapi hiasan kecil dalam simen asal masih kelihatan, tanda kenangan lama tidak dilupakan.

Exterior of The Collage Barrage home, as seen on Ugliest House In America, Season 6.Bahagian luar rumah Mays yang digelar ‘Collage Barrage’. — HGTV/TNS

Walaupun proses ubah suai tidak terlepas cabaran  termasuk kos RM41,915 untuk membaiki kabel elektrik berbahaya hasil akhirnya membuatkan Mays sangat terharu.

"Saya suka semuanya. Ia bukan tentang memadam apa yang pernah ada, tapi mencipta cerita baharu. Rumah ini kini ada jiwa baharu, namun tetap menyimpan kenangan lama," katanya penuh makna. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram