[VIDEO] Doa anak perempuan makbul, impian tercapai lihat ibu bapa bersatu lepas 4 tahun bercerai


  • Bonda
  • Rabu, 22 Okt 2025

Doa tulus seorang anak akhirnya menyatukan semula ibu dan ayah selepas empat tahun berpisah.

MASIH ingatkah video tular pada 2021 tentang seorang kanak-kanak perempuan yang mengimpikan hadiah istimewa sempena hari lahirnya.

Permintaan itu bukanlah mainan ataupun kek, tetapi harapan agar ibu dan ayahnya kembali bersama.

 

Namun begitu, empat tahun kemudian, doa tulus itu akhirnya dimakbulkan ALLAH meskipun penantian itu sangat panjang.

BACA LAGI: Pottery DIY hasilkan item dekorasi rumah, perkakas dapur rekaan estetik, unik

BACA LAGI: Panduan susun atur, pemilihan karya seni untuk hiasan dalaman, rumah persis galeri peribadi

Kisah menyentuh hati itu kembali mencuri perhatian warganet selepas perkongsian di laman TikTok oleh ibu kepada kanak-kanak berkenaan, yang dikenali sebagai @ibulailys1, mengumumkan bahawa beliau dan bekas suami bersatu semula demi keluarga kecil mereka.

Menurut hantaran video dikongsikan oleh akaun Jiwa Islam, kisah itu bermula apabila ayah bertanya kepada anak perempuannya tentang hadiah ulang tahun yang diinginkan. 

Dengan penuh harapan, anak kecil itu menjawab bahawa dia hanya mahu "ayah dan ibu kembali bersama."

"Asbab doa orang ramai dan atas izin-NYA, pasangan tersebut bersatu kembali pada beberapa hari lepas," tulis kapsyen dimuat naik Jiwa Islam, sekali gus mengundang rasa syukur ramai pengikut media sosial itu.

Lebih mengharukan, si ibu turut menzahirkan rasa syukur dan keinsafan dalam perkongsian terbaharunya.

"MasyaALLAH tabarakallah, alhamdulillah, ini pengakhiran cerita kami. Berkat viral dulu, terlalu ramai mendoakan kami. Saya sangat percaya ia doa daripada orang-orang baik. Indah ALLAH susun, jodohkan kami semula selepas empat tahun untuk perbaiki diri masing-masing demi anak-anak perempuan kami," katanya.

Beliau menambah, perjalanan hidup yang dilalui bukanlah sia-sia, sebaliknya penuh hikmah dan pelajaran tentang erti kesabaran serta ketentuan Ilahi.

"Jauh mana pun kami pergi, bila ALLAH kata dia jodohku, maka dia tetap jodohku. Tiap ujian datang, pelangi cuma cepat atau lambat. Terima kasih, ALLAH, atas nikmat perjalanan ini. Terima kasih semua yang mendoakan," ujarnya lagi dengan penuh rasa syukur.

Perkongsian tersebut segera mengundang ribuan komen positif daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya tersentuh dengan kisah keluarga itu. 

Ramai menganggap ia sebagai bukti bahawa doa anak yang ikhlas mampu menggoncang langit dan membuka pintu rahmat.

"Doa anak itu tiada hijab. Bila keluar dari hati yang suci, ALLAH makbulkan pada waktu terbaik," komen seorang pengguna.

Kini, pasangan berkenaan dilihat kembali bahagia di samping empat cahaya mata perempuan mereka. 

Video-video dikongsikan memperlihatkan suasana keluarga harmoni, penuh kasih sayang dan senyuman seolah-olah membuka lembaran baru dalam kisah mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram