Pottery DIY hasilkan item dekorasi rumah, perkakas dapur rekaan estetik, unik


  • Hias
  • Selasa, 21 Okt 2025

Seni pottery DIY gabungan kreativiti, ketenangan dan dekorasi rumah yang unik.

POTTERY bukan lagi sekadar seni hiasan klasik yang dipamer di galeri atau muzium.

Kini, ia menjadi trend gaya hidup moden mendekatkan manusia dengan seni, keaslian dan ketenangan.

Di tengah kesibukan kota, semakin ramai memilih aktiviti Do It Yourself (DIY) pottery sebagai terapi minda sambil menghasilkan item hiasan rumah.

BACA LAGI: Warisan seni, alam bersatu, 5 hiasan landskap serikan Taman Tasik Titiwangsa

BACA LAGI: Rentetan kes tikam pelajar, pelajar usia 15 tahun trauma nampak staf pakai sarung tangan hitam

Norbert menunjukkan hasil pottery buatan tangan di studio Good Times DIY.

Ia bukan sahaja cantik dipandang, tetapi juga boleh digunakan setiap hari.

Itulah konsep dibawa oleh Good Times DIY Lifestyle Studio, sebuah ruang kreatif di Kuala Lumpur yang mengetengahkan aktiviti seni tangan seperti pottery, tufting dan baking sebagai cara baharu menikmati masa berkualiti.

Menurut pengarahnya, Norbert Wong, 43, setiap ciptaan tanah liat dihasilkan di studionya membawa makna tersendiri.

"Kami ingin mencipta ruang di mana orang boleh meluangkan masa dengan tenang, belajar sesuatu yang baharu dan menikmati pengalaman membuat sesuatu dengan tangan sendiri," kata Norbert kepada Majoriti sambil mengimbas permulaan Good Times DIY yang kini berkembang menjadi antara studio gaya hidup kreatif terkemuka di ibu kota.

Peserta bengkel tekun membentuk tanah liat dalam suasana santai dan kreatif.

Bagi Norbert, pottery bukan sekadar aktiviti seni ia juga satu bentuk meditasi.

"Setiap kali kita membentuk tanah liat, ada rasa grounded. Ia memerlukan tumpuan dan kesabaran, menjadikan pottery medium terbaik untuk melepaskan tekanan," jelasnya.

Studio ini menarik pelbagai lapisan masyarakat daripada pelajar universiti, pekerja profesional, sehinggalah keluarga yang membawa anak kecil.

Ramai hadir bukan kerana mahir dalam seni, tetapi ingin mencari ketenangan dan kepuasan mencipta sesuatu dari asas.

"Ramai pelanggan kami datang kerana ingin berehat dari rutin harian. Apabila mereka hasilkan sesuatu dengan tangan sendiri walaupun tak sempurna, perasaan puas itu luar biasa," tambahnya.

Norbert berkongsi teknik membuat pottery DIY.

Menariknya, trend pottery DIY semakin meningkat seiring budaya home aesthetic di media sosial.

Ramai kini menjadikan pottery buatan sendiri sebagai elemen dekorasi rumah atau perkakas dapur yang unik.

"Pottery membawa elemen semula jadi ke dalam rumah tekstur, kehangatan dan karakter yang tiada pada bahan moden seperti kaca atau plastik," ujar Norbert.

Warna semula jadi seperti beige, terracotta dan putih matte menjadi pilihan utama, manakala gaya minimalis Jepun atau Scandinavian memberi sentuhan elegan tetapi tenang.

Hasil pottery yang siap dibakar sedia dijadikan dekorasi eksklusif atau perkakas dapur harian.

Selain nilai seni, pottery juga praktikal digunakan di dapur.

Norbert menjelaskan bahawa karya pottery yang dibakar pada suhu tinggi selamat untuk makanan dan minuman.

"Kami menggunakan tanah liat seperti stoneware atau porcelain clay.

"Ia tahan panas, tidak menyerap bau dan bebas bahan kimia berbahaya," katanya.

Reka bentuk pottery di studio ini turut menekankan keseimbangan antara estetika dan fungsi.

Setiap mangkuk, cawan, atau pinggan bukan hanya cantik, tetapi direka agar selesa dipegang dan tahan lama.

Setiap karya pottery dihasilkan dengan penuh ketelitian dan nilai estetik tersendiri.

Bagi ramai peserta bengkel, pottery bukan lagi hobi sampingan kerana ia menjadi ruang terapi dan refleksi diri.

"Proses pottery mengajar kita menikmati setiap langkah perlahan-lahan. Ia tentang kesabaran, bukan kesempurnaan.

"Ini seiring dengan gaya hidup slow living yang semakin digemari," kata Norbert.

Cabaran utama, katanya, adalah mendidik masyarakat untuk menghargai pottery bukan sekadar aktiviti santai, tetapi seni yang bernilai tinggi.

"Kami mahu ubah persepsi itu bahawa pottery ialah gabungan seni, fungsi, dan emosi," tegasnya.

Good Times DIY kini dalam perancangan untuk memperluas konsepnya ke bandar-bandar lain seperti Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Studio ini juga sedang bekerjasama dengan pereka dalaman bagi projek hiasan rumah dan kafe tempatan.

"Saya berharap seni pottery dapat diterima luas sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

"Ia bukan sekadar hobi sementara, tetapi cara untuk mendekatkan diri dengan seni, ketenangan dan komuniti kreatif," ujar Norbert penuh harapan.

Seni pottery mengajar manusia untuk berhenti sejenak dan menghargai keindahan yang terhasil daripada kesabaran dan sentuhan tangan sendiri.

Setiap lekuk, warna pada pottery bukan sekadar dekorasi ia adalah cerita tentang usaha, ketenangan, dan keindahan hidup yang sederhana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram