Kenali 6 jenis bunga lili bakal pengantin perlu elak untuk 'hand bouquet', jika enggan hilang bulus kesayangan


  • Gaya
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Walaupun putih dan elegan, semua spesies Lilium dan Hemerocallis boleh menyebabkan keracunan serius pada kucing. — Gambar hiasan/Agensi

BUNGA lili sering menjadi pilihan utama sebagai bunga tangan (hand bouquet) pengantin kerana menyuntik penampilan anggun, elegan dan menyerlahkan gaya klasik yang tidak lapuk dek zaman.

Ramai juga menggemarinya terutama rona putih kerana tampak bersih, moden dan mudah dipadankan dengan apa jua tema atau konsep perkahwinan.

Namun, siapa sangka di sebalik kecantikan itu, bunga berkenaan dikatakan bahaya terutama bagi mereka yang memelihara kucing di rumah.

BACA LAGI: Kebanyakan kes buli mula di sekolah, taman permainan, adakah pembuli boleh berubah? Ini jawapan psikologi

BACA LAGI: Kebanyakan kes buli mula di sekolah, taman permainan, adakah pembuli boleh berubah? Ini jawapan psikologi

Menurut agensi, International Cat Care, semua bahagian bunga lili termasuk kelopak, daun, batang dan debunga mengandungi toksin yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang pada kucing.

Hanya menjilat sedikit debunga pada bulu atau meminum air dari pasu bunga berkenaan sudah cukup untuk membawa maut.

Tanda-tanda awal keracunan boleh muncul dalam tempoh satu hingga enam jam selepas pendedahan.

Dedah agensi berkenaan, antara simptomnya termasuk air liur berlebihan, muntah, hilang selera makan dan kelesuan.

Dalam kes serius, kucing boleh mengalami dehidrasi dan gagal buah pinggang.

Berikut enam jenis bunga lili yang dikategorikan berbahaya dan perlu dielak, terutama oleh bakal pengantin pencinta kucing:

1. Asiatic Lily (Hemerocallis species)

Spesies ini jarang digunakan sebagai bunga tangan, namun ia sering dijadikan sebagai bunga hiasan rumah kerana warnanya yang terang dan tahan lama.

Namun, ia antara paling beracun kepada kucing.

2. Easter Lily (Lilium longiflorum)

Dengan kelopak putih berbentuk trompet, Easter Lily dianggap antara spesies paling berbahaya untuk kucing.

Hanya sehelai daun atau sedikit air dari pasu bunga boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dalam masa dua hingga tiga hari jika tidak dirawat segera oleh doktor haiwan.

3. Madonna Lily (Lilium candidum)

Dengan kelopak putih dan aroma kuat, Madonna Lily kerap menjadi pilihan untuk majlis bertema klasik.

Walaupun rupa luarnya menyerupai Easter Lily, ia biasanya sedikit lebih kecil dan kelopak lebih halus.

'After eight' Oriental lily

4. Japanese Showy Lily (Lilium hybridum)

Bunga hibrid dari Jepun ini digemari kerana bentuknya besar dan menarik, sesuai dijadikan titik fokus dalam sejambak tangan pengantin.

5. Royal Lily (Lilium regale)

Bunga ini terkenal dengan rupa mewah dan haruman lembut menawan.

Namun, kandungan toksinnya tinggi dan boleh menyebabkan muntah serta kelesuan dalam masa beberapa jam selepas disentuh atau dijilat oleh kucing.

6. Day Lily (Hemerocallis species)

Walaupun sering dijadikan tanaman hiasan di halaman rumah, Day Lily juga berbahaya kepada kucing.

Kucing yang suka menggigit daun atau kelopak bunga ini boleh mengalami kerosakan buah pinggang dalam masa kurang daripada 24 jam.

Pakar turut menjelaskan bahawa walaupun terdapat tumbuhan lain yang membawa nama 'lily seperti peace lily, calla lily dan lily of the valley, kumpulan Lilium dan Hemerocallis adalah yang paling berisiko tinggi kepada kucing.

Justeru, bagi bakal pengantin yang memiliki kucing, elakkan penggunaan bunga lili dalam sejambak atau dekorasi perkahwinan.

Pilih alternatif yang lebih selamat seperti mawar, hydrangea atau baby’s breath.

Jika tetap ingin mengekalkan elemen lili, gunakan bunga tiruan sahaja.

Kecantikan boleh dicari dalam pelbagai bentuk, tetapi keselamatan si bulus perlu diutamakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram