
DI bawah pohon besar yang merimbun dan dikelilingi kehijauan alam, berdiri sebuah rumah kayu tradisional masih teguh walau usianya sudah lebih tiga dekad.
Warna kuning lembut pada dinding, padanan hijau pada tingkap dan bumbung merah maroon menjadikan rumah itu tampak ceria di tengah suasana kampung yang damai.
Inilah rumah peninggalan keluarga Burhanuddin Abdul Jalil, yang dibina sejak 1988 tempatnya dilahirkan, dibesarkan dan kini menjadi lambang kasih serta warisan tidak pernah pudar.
"Kembali ke asal, rumah saya dilahirkan dan dibesarkan," tulis Burhanuddin dalam perkongsian di media sosial.
Selepas lebih 30 tahun meninggalkan kampung untuk menuntut ilmu dan mencari rezeki, setiap kali pulang, beliau disambut dengan pemandangan sama.
Sebuah rumah kayu yang masih berdiri megah, teduh di bawah pohon tua dan halaman terbentang luas dengan susunan pasu bunga yang rapi.
"Saya budak kampung, selamanya anak kampung," tulisnya lagi, menegaskan bahawa akar dirinya tetap berpaut di tanah asal.
Dari jauh, rumah itu menyerlah dengan rekaan klasik rumah Melayu tradisional bertiang tinggi, beranda luas dan tangga simen berukir halus yang membawa ke serambi hadapan.
Tiang-tiang kukuhnya menjadi nadi kepada struktur rumah, manakala lantai kayu yang digilap memberi kehangatan setiap kali kaki melangkah masuk.
Di halaman, pasu-pasu bunga dan pokok hijau menghiasi laluan masuk, menambahkan suasana tenang dan segar.
Setiap sudut rumah seolah-olah dijaga penuh kasih tidak berlebihan, tetapi penuh perincian yang menggambarkan cita rasa kampung yang halus.
Bahagian dalam rumah pula memancarkan kehangatan nostalgia.
Dinding hijau muda diserikan dengan langsir biru terang, sofa merah hati dan meja kopi beralas renda.
Walaupun perabotnya ringkas dan murah, susun atur dan padanan warnanya mencipta suasana nyaman dan mesra.
"Guna perabot murah-murah sahaja, janji ada," tulis Burhanuddin dengan nada bersahaja.
Namun hasilnya tetap mempesona kerana di rumah itu, yang penting bukan harga barang, tetapi rasa kasih tersulam dalam setiap sentuhan.
Menurutnya, abang keduanya yang kini menjaga rumah itu memang rajin mengubah suai bahagian dalam agar tidak membosankan.
"Hari itu balik lain, balik kali ini dah lain pulak. Tuan rumahnya terlebih rajin."
Perkongsian Burhanuddin menarik perhatian ramai yang teruja melihat bagaimana rumah kayu lama boleh kekal indah dan berfungsi hingga kini.
Seorang pengguna media sosial, Dahliya Mohd Tahir, menulis: "Tak perlu perabot mahal atau import. Kalau tuannya pandai mengubah suai, kena dengan warna sekeliling, cukup untuk memberi keindahan dan kedamaian."
Manakala Mila Kamila pula berkongsi cabaran menjaga rumah lama: "Cantik, mencabar juga nak jaga rumah papan macam ini. Kena cat selalu untuk elak cepat reput dan jaga-jaga dengan anai-anai."
Burhanuddin membalas dengan ringkas tapi jujur, "Betul itu, musuh utama memang anai-anai."
Namun cabaran itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengekalkan rumah itu sebagai warisan keluarga.
Setiap lapisan cat dan papan diganti, semuanya adalah usaha kecil untuk mengekalkan sejarah yang besar.
Ramai tertarik dengan keunikan rumah itu hingga ada yang bertanya, "Terbuka untuk lawatan tak?" Burhanuddin menjawab dengan senyuman melalui tulisannya:
"Kalau kami ada di rumah, boleh sahaja datang."
Sikap terbuka itu mencerminkan nilai kampung yang masih subur dengan keramahan, keterbukaan dan rasa kebersamaan yang menjadi tunjang kehidupan desa sejak dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram