Dekorasi, reka bentuk gaya industri suntik vibes santai ketika nikmati sepotong piza artisan, secawan kopi


  • Hias
  • Selasa, 14 Okt 2025

Ketenangan Pociato Coffee & Pizza terpancar melalui dekorasi industrial yang selesa dan menarik.

KETENANGAN bukan hanya hadir daripada secawan kopi yang harum, tetapi juga daripada suasana menyelubungi ruang di sekitarnya.

Itulah falsafah cuba diterjemahkan oleh Pociato Coffee & Pizza, sebuah kafe yang semakin mendapat perhatian kerana konsep reka bentuknya yang menenangkan dalam gaya industrial rustic moden.

Dengan gabungan elemen konkrit, besi hitam matte, pencahayaan semula jadi dan sentuhan hijau lembut, ruang kafe ini bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi menjadi lokasi healing bagi pelanggan yang mencari ketenangan selepas menempuhi hari panjang.

BACA LAGI: Ikhtiar Warisan KL inisiatif hidupkan semula seni bina ikonik sebagai pentas budaya, tarikan lestari

BACA LAGI: Kakak sulung berkorban jaga ibu terlantar sakit kronik, adik-beradik buat kejutan hadiahkan mesin basuh

Menjejakkan kaki ke dalam Pociato memberi pengalaman visual dan deria yang seimbang dengan aroma kopi segar, pantulan cahaya dari tingkap besar dan muzik lembut mengiringi perbualan pelanggan.

Tiada elemen berlebihan dan warna terang hanya keseimbangan antara keaslian bahan binaan dan keselesaan.

Setiap inci ruang menggambarkan bagaimana seni bina industri boleh diolah agar tetap mesra dan damai, bukan sekadar garang dan kasar seperti kebanyakan konsep seumpamanya.

Bagi pengasasnya, Muhammad Haziq Nor Hairur Hazam, 27, membangunkan kafe ini bukan hanya tentang berniaga kopi dan piza.

Ia adalah eksperimen untuk menggabungkan rasa, aroma dan suasana dalam satu identiti dengan tempat yang mendamaikan.

Pasangan inspirasi, Muhammad Haziq dan isteri, membawa keunikan Pociato Coffee & Pizza ke tahap baharu.

"Saya bukan peminum kopi pada awalnya.

"Semuanya bermula waktu pandemik COVID-19. Ketika itu saya banyak terdedah dengan budaya kopi di media sosial.

"Dari situlah minat untuk memahami kopi mula berkembang," kata Haziq kepada Majoriti.

Daripada sekadar mencuba dalgona coffee sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), Haziq kini menjadi antara penggerak kafe tempatan yang berani membawa kelainan.

Ia bukan sahaja dalam rasa, tetapi juga dari segi seni reka ruang.

Nama 'Pociato' diambil daripada nama seekor kucing, 'Poci', simbol asal kepada idea awalnya untuk membuka kafe kucing.

Walau impian itu terpaksa diubah, nama tersebut kekal menjadi identiti unik bagi kafenya.

Ketenangan setiap sudut dengan dekorasi ala industri.

Haziq memilih konsep industri kerana ia tahan lasak, praktikal dan mudah disesuaikan dengan peredaran masa.

"Saya memang suka gaya industri. Kalau pergi cafe hunting pun, saya akan cari kafe konsep begini.

"Yang penting, kita kena tahu bagaimana nak lembutkan suasana yang keras dengan warna, pencahayaan dan tekstur," ujarnya.

Kombinasi konkrit mentah dan dinding bata merah 'dilunakkan' dengan sofa empuk berwarna earth tone, tumbuhan hijau dan lampu warm white yang digantung rendah.

Unsur besi dan kayu seimbang dalam satu harmoni visual cukup untuk memberi ilusi kehangatan walau berasaskan bahan 'keras'.

"Kalau terlalu industri, pelanggan akan rasa macam berada di dalam bengkel.

"Jadi kami seimbangkan dengan elemen lembut, warna rambut (tanah), sedikit bunga dan pencahayaan semula jadi daripada tingkap besar.

"Saya mahu pelanggan rasa selesa, bukan kaku," ujarnya.

Ruang cozy menggabungkan kopi dan pizza dalam gaya industri.

Sebagai pemilik yang terlibat langsung dalam proses reka bentuk, Haziq turut bekerjasama dengan pereka dalaman profesional.

"Saya tahu apa yang saya mahu, konsep industrial tapi tetap praktikal untuk operasi kafe," katanya.

Ruang seluas kira-kira 1,500 kaki persegi itu melalui proses renovasi bernilai lebih RM150,000, tidak termasuk perabot dan kelengkapan dapur.

Tiada siling palsu dipasang, menjadikan ruang terasa tinggi dan luas.

Cermin besar pada dinding utama pula membenarkan cahaya semula jadi masuk, memberi kesan tenang tanpa memerlukan lampu buatan yang berlebihan.

"Segala elemen visual, bau dan bunyi kami kawal dengan teliti.

"Bau kopi yang segar, muzik mendamaikan, pencahayaan yang lembut semua ini penting untuk memastikan pelanggan tenang dan menikmati setiap saat mereka di sini," jelasnya.

Pelanggan menikmati ketenangan sepanjang menjamu selera.

Menariknya, Pociato bukan sekadar kafe kopi biasa kerana ia menggabungkan dua dunia berbeza kopi dan piza artisan.

"Di luar sana, banyak kafe hanya fokus pada kopi atau restoran hanya fokus pada piza.

"Tapi kami satukan kedua-duanya dalam satu ruang yang cozy," jelasnya.

Antara menu yang menjadi tarikan utama ialah Smoked Duck Pizza dan Wagyu A5 Pizza, di samping kopi istimewa seperti Cream Butter Latte, hasil Research and Development (R&D) pasukan mereka sejak hari pertama pembukaan.

Haziq menegaskan pentingnya konsisten dan latihan sistematik dalam memastikan setiap cawan kopi dan piza yang disajikan mengekalkan standard yang sama di semua cawangan.

"Kita tak boleh kompromi soal rasa dan pengalaman pelanggan," katanya tegas.

Lebih daripada sekadar menjamu selera Pociato menjadi ruang terapi bagi pelanggan.

Lebih daripada sekadar menjamu selera, Haziq mahu Pociato menjadi ruang terapi bagi pelanggan.

"Saya mahu orang yang penat bekerja boleh datang ke sini untuk menenangkan diri.

"Ketenangan itu datang bukan hanya daripada kopi, tapi daripada suasana yang kami bina," ujarnya.

Dari muzik lembut hingga bau kopi yang segar, setiap deria pelanggan dirangsang untuk mencipta pengalaman positif.

"Kita nak pelanggan keluar dengan hati yang ringan," tambahnya.

Pelanggan merasai ketenangan di Pociato dengan konsep industrial yang memikat.

Haziq merancang untuk memperluas Pociato dengan lebih banyak cawangan mengikut permintaan dan budaya setempat, namun tetap mengekalkan nilai asal ketenangan dalam reka bentuk.

Nasihatnya kepada usahawan muda?

"Mulakan dengan kecil. Uji idea dulu sebelum berkembang besar. Jangan terlalu ikut trend cari identiti sendiri. Bila pelanggan ingat rasa dan suasana kafe kita, itulah kejayaan sebenar."

Pociato Coffee & Pizza membuktikan bahawa konsep industrial tidak semestinya keras atau dingin.

Dengan kepekaan terhadap warna, tekstur dan pencahayaan, Haziq berjaya mengolah gaya itu menjadi ruang yang hidup.

Seiring aroma kopi yang memikat dan piza yang menyatukan selera.

Di tengah hiruk-pikuk bandar, Pociato berdiri sebagai tempat yang mana besi dan batu bertemu dengan jiwa dan rasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram