Terbiar berpuluh tahun, jadi sarang penagih, kini rumah pusaka kembali 'hidup', landskap bunga tambah seri


  • Hias
  • Selasa, 14 Okt 2025

Rumah pusaka di Kuala Kurau kini berwajah baharu dengan dua tona warna biru dan kuning, sarat kenangan lama yang dihidupkan semula. — Facebook/Adnil Usi San

SUATU ketika dahulu, rumah kayu dua tingkat di Kuala Kurau, Perak itu hanyalah tinggalan kenangan suram, usang, kosong dan dipenuhi memori masa lalu.

Namun, perkongsian Adnil Usi San di Facebook baru-baru ini mengundang perhatian ramai apabila beliau memuat naik semula gambar rumah tersebut yang kini berubah wajah menjadi lambang kasih dan kenangan keluarga  dihidupkan semula.

Menurut Adnil, rumah itu dulunya ditinggalkan berpuluh tahun sebelum mereka sekeluarga berpindah masuk pada  2020.

BACA LAGI: 'Inilah nasib dapat penyewa dari neraka', pemilik kecewa rumah kotor, 'hancur', bil elektrik cecah RM700

BACA LAGI: Ikhtiar Warisan KL inisiatif hidupkan semula seni bina ikonik sebagai pentas budaya, tarikan lestari

"Dulu rumah penuh dengan peninggalan pinggan mangkuk, penagih dadah buat tempat dalam rumah habis mereka jual. Macam rumah hantu," tulisnya.

Selepas atuk bersara, mereka ambil keputusan untuk pulang ke kampung dan menghidupkan semula rumah pusaka yang pernah menjadi tumpuan orang kampung.

Kini rumah yang dulunya kelihatan suram telah diserikan dengan dua tona warna iaitu biru dan kuning.

Ini sekali gus menjadikannya ceria dan menonjol di kawasan sekitar.

Bahagian di dalam rumah juga dibersihkan dan dikemas, memelihara struktur asal kayu yang sarat dengan nilai sentimental.

Menariknya, halaman rumah yang dulunya tanah kering kontang kini bertukar menjadi taman kecil yang dipenuhi bunga-bungaan pelbagai warna.

Ia menjadi lambang kehidupan baharu bukan sahaja kepada rumah itu, tetapi kepada memori keluarga yang kembali bersemi.

"Sekarang rumah ini jadi perhatian balik saudara mara dan kawan-kawan lama datang rumah ini sebab dulu-dulu tempat tumpuan orang hantar padi," tulis Adnil lagi.

Beliau turut mengimbas kenangan masa lalu apabila rumah itu pernah menjadi tempat orang kampung menonton televisyen di tingkat atas dan masih mempunyai dua telaga lama serta seekor ikan kaloi besar yang dijaga oleh nenek.

Perkongsian itu bukan sekadar tentang membaik pulih rumah pusaka, tetapi tentang membangunkan semula jiwa dan sejarah yang pernah hilang.

Dari rumah yang dianggap rumah hantu, kini ia berdiri megah sebagai simbol kasih, warisan dan nostalgia keluarga di Kuala Kurau yang hidup semula dengan penuh warna dan cerita. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram