
SETIAP pagi, ramai antara kita berdepan dilema kecil yang nampak remeh tetapi cukup menguji kesabaran.
Berdiri lama di hadapan almari, membelek satu persatu pakaian, kemudian akhirnya memilih baju yang sama kita pakai beberapa lalu.
Peliknya, hujung bulan kita tetap membeli baju baharu, seolah-olah tiada yang sesuai di rumah.
BACA LAGI: Songket benang emas hiasi dinding, sudut kediaman moden, angkat nilai estetika tekstil warisan
Fenomena itu, kata pelatih Komunikasi dan Kepimpinan, Nurhidayah Jaafar, bukan sekadar tabiat, tetapi cerminan kepada apa yang beliau panggil sebagai sindrom Hamlet.
Apa itu sindrom Hamlet?
Walaupun bukan istilah rasmi dalam bidang psikologi, sindrom Hamlet ialah metafora yang diambil daripada watak utama karya agung William Shakespeare, Hamlet.
Dalam drama itu, Hamlet digambarkan sebagai seorang yang terlalu banyak berfikir dan berbelah bahagi walaupun dia tahu apa yang perlu dilakukan.
Sikap teragak-agak dan penangguhan tindakannya menyebabkan tragedi demi tragedi berlaku dalam hidupnya.
Menurut Nurhidayah, dalam konteks kehidupan moden, sindrom Hamlet berlaku apabila seseorang terlalu lama memikirkan pilihan sehingga akhirnya tidak membuat apa-apa keputusan atau hanya memilih jalan paling selamat.
"Kita terlalu banyak menilai dan menganalisis sesuatu sampai hilang tenaga untuk bertindak. Akhirnya kita kekal di tempat yang sama, tak ke mana-mana," kongsinya di Threads.
Terlalu banyak pilihan, terlalu banyak fikir
Fenomena itu selari dengan beberapa konsep psikologi yang sering dibincangkan oleh para pengkaji:
1. Decision Paralysis – Keadaan apabila seseorang tidak dapat membuat keputusan akibat terlalu banyak pertimbangan.
2. Analysis Paralysis – Apabila seseorang terus menilai dan menganalisis sehingga gagal bertindak langsung.
3. Paradox of Choice – Teori yang dikemukakan oleh Barry Schwartz, menjelaskan bahawa semakin banyak pilihan yang kita ada, semakin sukar untuk kita merasa puas dan yakin dengan keputusan dibuat.
Dalam dunia yang penuh pilihan hari ini dari pakaian, makanan, kerjaya hingga pasangan hidup tidak hairan jika ramai individu terperangkap dalam perangkap 'overthinking' tanpa sedar.
"Kita fikir kita sedang membuat keputusan yang rasional, tapi sebenarnya kita cuma menunda kerana takut tersilap langkah," ujar Nurhidayah.
Bagaimana mengurus sindrom Hamlet?
Untuk keluar daripada kitaran terlalu banyak berfikir, Nurhidayah menyarankan agar kita mula dengan langkah kecil tetapi konsisten.
- Kurangkan pilihan - Hadkan jumlah pilihan supaya otak tidak terbeban.
- Letakkan had masa - Misalnya, beri diri hanya 10 minit untuk membuat keputusan kecil.
- Percaya pada naluri - Tidak semua keputusan memerlukan analisis mendalam kerana kadangkala gerak hati sudah tepat.
- Belajar daripada keputusan lalu - Tiada keputusan yang sempurna, tetapi setiap tindakan memberi ruang untuk belajar dan berkembang.
'Syndrome Hamlet' mengajar kita bahawa berfikir itu penting, tetapi bertindak itu lebih berharga.
Dalam usaha mencari keputusan yang sempurna, ramai terlepas peluang dan masa berharga kerana terlalu lama menunggu kepastian.
Kerana akhirnya, keberanian untuk membuat keputusan, walau kecil, itulah langkah pertama menuju perubahan besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram