
AKTIVIS alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, dilaporkan telah "dihina dan dibungkus dengan bendera Zionis" ketika menaiki kapal Global Sumud Flotilla, menurut dakwaan seorang wartawan Itali yang ditahan selepas flotila kemanusiaan itu dipintas oleh pasukan tentera rejim.
"Greta Thunberg, seorang wanita yang berani dan baru berusia 22 tahun, telah dihina dan dibungkus dengan bendera Israel seperti trofi," kata wartawan Itali, Lorenzo Agostino, pada Sabtu.
Agostino menggambarkan suasana penahanan itu sebagai tidak berperikemanusiaan.
"Saya berasa seolah-olah berada di tempat yang benar-benar ganas dan saya berharap keadaan seperti ini akan segera berakhir," katanya.
Bercakap kepada agensi berita Anadolu sejurus tiba di Istanbul dengan penerbangan khas, Agostino mendakwa beliau dan penumpang lain telah diculik dan berdepan keadaan yang amat memalukan sepanjang tempoh tahanan.
"Mereka membawa kami ke darat dan apabila tiba, layanan yang diterima tidak ubah seperti perlakuan kumpulan pengganas. Kami ditendang, tidak dibekalkan air bersih selama lebih dua hari dan setiap peluang digunakan untuk menghina kami," ujarnya.
Menurut Agostino, ketika kapal mereka tiba di pelabuhan Ashdod, suasana amat tegang dengan kehadiran Menteri Keselamatan negara haram, Itamar Ben-Gvir, yang didakwa memastikan tahanan dilayan seperti pengganas.
"Saya bernasib baik kerana dibebaskan sebelum Ben-Gvir tiba," tambahnya.
Beliau turut mendakwa bahawa para tahanan dibutakan mata, digari dengan kuat, tidak diberi pakaian mencukupi dan dibiarkan dalam suhu dingin di dalam van berhawa dingin untuk tempoh yang lama.
Flotila kemanusiaan Global Sumud Flotilla dilaporkan sedang menuju ke Gaza untuk memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kepada penduduk Palestin apabila diserang pada 1 Oktober.
Tentera Israel kemudiannya merampas puluhan kapal dan menahan ratusan penumpang, termasuk aktivis dan sukarelawan antarabangsa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram