[VIDEO] Cara tanam padi di rumah halaman terhad, guna konsep pertanian moden, hasilnya pun lumayan!


  • Hias
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Plot padi 144 polibeg di halaman rumah Aai Shah, lengkap dengan ikan puyuh dan pegaga Jepun untuk ekosistem seimbang.

MENANAM padi bukan lagi sekadar kegiatan petani di sawah yang terbentang luas.

Kini, sesiapa sahaja boleh mencuba pengalaman itu di halaman rumah sendiri, walaupun ruang terhad.

Seorang peminat pertanian bandar, Siti Aai Shah, membuktikan bahawa dengan kreativiti dan kesabaran, tanaman padi boleh berkembang subur dalam polibeg bagi menghasilkan beras berkualiti dan ikan ternakan sebagai bonus.

BACA LAGI: Wanita mangsa 'grooming' guru sejak usia 16 tahun tak dibela, kecewa ketidakadilan undang-undang

BACA LAGI: Rumah Toybox berusia 160 tahun di Goa, pesona warisan kontemporari dalam kedamaian desa

Perkongsiannya di Facebook menjadi inspirasi buat mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baharu di rumah.

Bayangkan menuai padi dari halaman rumah sendiri, sambil menikmati hasil sampingan seperti ikan segar untuk hidangan keluarga.

Pendekatan itu bukan sahaja menjimatkan, malah turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui kawalan serangga semula jadi.

Dengan kaedah dikongsikan oleh Aai Shah, sesiapa yang memiliki ruang terhad dan semangat boleh memulakan projek tanaman padi secara kecil-kecilan, tanpa memerlukan kelengkapan mahal atau pengetahuan teknikal mendalam.

Keunikan kaedah Aai Shah terletak pada gabungan tanaman padi dengan ternakan ikan dalam satu sistem, menyerupai konsep akuaponik yang mesra alam.

Beliau menggunakan polibeg untuk menanam padi dan menambahkan ikan puyu sebagai agen kawalan jentik-jentik, sekali gus mencipta ekosistem yang seimbang.

Majoriti membawa anda melalui langkah-langkah yang dikongsikan Aai Shah, bermula dari penyediaan plot hingga penjagaan tanaman.

Ini supaya anda juga boleh menikmati hasil tuaian padi di rumah sendiri.

Negara maju seperti Jepun sudah mula menanam padi di ruang terhad.

Aai Shah memulakan projeknya dengan menyediakan plot bersaiz lebar 1.1 meter, panjang 12 meter dan ketinggian 0.25 meter.

Dalam ruang itu, beliau berjaya menempatkan 144 polibeg bersaiz 15x15 cm yang mana setiap polibeg diisi dengan tanah sesuai untuk tanaman padi dengan memastikan ruang cukup untuk pertumbuhan akar dan penyerapan nutrien.

Proses itu memerlukan ketelitian untuk memastikan setiap polibeg disusun rapi dan stabil.

Pengisian air, penjagaan awal

Selepas polibeg disusun, langkah seterusnya ialah mengisi plot dengan air.

Aai Shah menekankan bahawa proses itu memerlukan kesabaran tinggi kerana air perlu diisi secara perlahan untuk mengelakkan tanah dalam polibeg terhakis.

Pada peringkat awal, air mungkin kelihatan keruh seperti 'air teh' akibat partikel tanah yang bercampur.

Namun, beliau menjelaskan bahawa air akan menjadi jernih semula selepas sehari, menandakan plot sudah stabil untuk langkah seterusnya.

Kawalan jentik-jentik dengan ikan puyu

Salah satu cabaran utama dalam tanaman padi air ialah pembiakan jentik-jentik nyamuk.

Untuk mengatasinya, Aai Shah memperkenalkan ikan puyu ke dalam plot.

Beliau memilih ikan puyu kerana ketahanannya terhadap kedalaman air cetek, persekitaran berasap dan keupayaannya hidup tanpa pam oksigen.

Sebanyak 30 ekor ikan puyu dimasukkan, yang bukan sahaja membantu mengawal jentik-jentik, malah juga menjadi hasil ternakan yang boleh dimakan.

Penanaman pegaga Jepun sebagai pelindung

Sebelum pokok padi membesar, Aai Shah menanam pegaga Jepun dalam plot sebagai pelindung sementara.

Tumbuhan itu membiak dengan cepat di dalam air dan menyediakan teduhan kepada ikan, mengelakkan mereka daripada terdedah kepada panas matahari.

Pegaga Jepun juga berfungsi sebagai habitat semula jadi untuk ikan sehingga pokok padi cukup besar untuk mengambil alih peranan tersebut.

Dengan plot 144 polibeg itu, Aai Shah menyasarkan hasil minima sebanyak 30 kilogram beras.

Selain itu, kehadiran ikan puyu menawarkan faedah tambahan berupa hasil ternakan ikan.

Pendekatan itu bukan sahaja menghasilkan beras untuk kegunaan sendiri, malah turut mengurangkan populasi nyamuk di kawasan sekitar, menjadikannya penyelesaian yang praktikal dan mesra alam.

Selepas plot diisi air dan ikan puyu ditambahkan, Aai Shah merancang untuk memindahkan anak pokok padi ke dalam polibeg.

Proses itu memerlukan penjagaan rapi untuk memastikan anak pokok dapat beradaptasi dengan baik dalam persekitaran baharu.

Kaedah tanaman padi dalam polibeg yang dikongsikan oleh Aai Shah membuktikan bahawa pertanian moden boleh dilakukan di ruang terhad dengan hasil yang memberangsangkan.

Dengan sedikit kreativiti dan komitmen, sesiapa sahaja boleh menanam padi di halaman rumah sambil menikmati faedah tambahan seperti ternakan ikan dan kawalan serangga semula jadi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram