Cipta ruang elegan tanpa rasa sesak, hilang nilai estetika, ini 5 'pantang larang' hias kamar kecil


  • Hias
  • Ahad, 28 Sep 2025

Reka bentuk dalaman pintar menjadikan bilik kecil kelihatan luas dan bergaya.

MENGUBAH bentuk bilik kecil bukanlah tugas mudah kerana ruang terhad menuntut kreativiti dan ketelitian untuk memastikan keselesaan tanpa mengorbankan gaya.

Pakar reka bentuk dalaman terkenal seperti Andrea Schumacher, Jill Litner Kaplan dan Lauren Saab berkongsi pandangan tentang lima perkara utama perlu dielakkan di dalam bilik kecil agar ruang kekal elegan, lapang dan berfungsi.

Berikut senarai 'pantang larang', lengkap dengan alternatif bijak untuk mencipta ruang menarik tanpa rasa sesak.

BACA LAGI: Pelajar Malaysia kongsi tip masuk Universiti Al-Azhar guna sijil SPM

BACA LAGI: Katrina Kaif bakal timang anak sulung pada usia 42 tahun, pakar O&G dedah pro, kontra hamil lewat umur

1. Perabot bersaiz terlalu besar

Perabot yang terlalu besar boleh merosakkan estetika dan fungsi bilik kecil.

Pengasas Andrea Schumacher Interiors, Andrea Schumacher, memberitahu bahawa skala adalah segalanya, terutama dalam ruang intim yang mana setiap inci penting.

Sofa, katil atau almari yang terlalu besar akan menguasai ruang sekali gus menjadikan bilik terasa sempit dan sukar untuk bergerak.

"Ia bukan sahaja memenuhi ruang, malah menghilangkan rasa lapang yang ingin kita cipta," katanya.

Pilih perabot bersaiz seimbang yang tetap mempunyai karakter.

Schumacher mencadangkan kerusi beraksen atau lampu berbentuk seni yang menyerlah tanpa mengambil ruang besar.

Contohnya di dalam sebuah bilik kecil, pilih sofa ramping dengan reka bentuk moden atau kerusi slipper rendah seperti yang digunakan oleh Jill Litner Kaplan dalam sebuah bilik baca.

"Kerusi besar atau sofa dalam akan menelan ruang dan menambah rasa terkurung," jelas Kaplan.

2. Perabot tanpa kaki

Perabot tanpa kaki kelihatan berat dan boleh membuat bilik kecil terasa sesak.

Pengasas Saab Studios, Lauren Saab pula menerangkan, "Barangan berat tanpa kaki kelihatan seperti blok besar yang menyerap ruang lantai."

Ini menjadikan bilik terasa lebih kecil dan kurang menarik.

Pilih perabot dengan kaki nipis kelihatan ala terapung untuk kesan visual lebih ringan dan lapang.

"Gaya ramping dengan kaki tinggi membuka ruang dan menjadikan bilik terasa lebih cerah serta luas," kata Saab.

Sebagai bonus, kaki perabot membuka peluang stor di bawahnya, seperti menyimpan bakul anyaman di bawah sofa atau peti antik di bawah meja TV untuk menyimpan barangan tanpa kelihatan bersepah.

Perabot berkaki nipis mencipta ilusi ruang yang lebih luas.

3. Perabot terlalu kecil

Walaupun perabot besar adalah masalah, mengisi bilik dengan perabot terlalu kecil juga boleh menjejaskan estetika.

Schumacher menjelaskan bahawa perabot kecil yang berlebihan boleh membuat bilik kelihatan seperti rumah anak patung, mengurangkan kesan elegan dan menjadikan ruang terasa tidak seimbang.

Fokus pada keseimbangan antara saiz dan gaya.

Pilih beberapa keping perabot yang berskala sederhana dengan reka bentuk yang menonjol, seperti meja sisi dengan bentuk unik atau lampu lantai yang artistik.

Ini memastikan bilik kecil kekal menarik tanpa terasa sesak atau kekok.

4. Abai ruang penyimpanan

Bilik kecil sering kekurangan ruang penyimpanan dan mengabaikan elemen itu boleh menyebabkan kekacauan.

Kaplan menegaskan bahawa tanpa ruang yang bijak, barangan seperti buku, alat elektronik atau hiasan boleh memenuhi ruang dan mengganggu kelapangan.

Gunakan perabot pelbagai guna yang menawarkan ruang simpanan tersembunyi, seperti katil dengan laci bawah atau meja kopi dengan rak.

Sebagai contoh, Saab mencadangkan peti antik di bawah meja televisyen untuk menyimpan barangan sambil menambah gaya.

"Saya suka peti vintaj yang menyimpan bekalan hiburan di ruang tamu saya, ia praktikal dan bergaya," katanya.

Susunan perabot yang bijak memastikan bilik kecil kekal selesa.

5. Abai keseimbangan ruang, pergerakan

Memenuhi bilik kecil dengan terlalu banyak perabot, walaupun bersaiz sederhana boleh menghalang pergerakan dan menjadikan ruang tidak selesa.

"Bilik kecil perlu ruang untuk bernafas," kata Schumacher.

Perabot yang diletakkan tanpa perancangan boleh membuatkan ruang terasa seperti sesak.

Susun perabot untuk memastikan laluan yang jelas dan ruang terbuka.

Kaplan mencadangkan penggunaan bangku tingkap (window seat banquette) sebagai ganti sofa besar dalam bilik baca kecil, membolehkan ruang tetap berfungsi tanpa rasa terhad.

Pastikan setiap keping perabot mempunyai tujuan dan diletakkan untuk memaksimumkan ruang kosong. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram