[VIDEO] 'Blind box' nasi lemak, skirt kain pelikat jadi idea kreatif label lokal rai Hari Kebangsaan


  • Gaya
  • Sabtu, 30 Ogos 2025

Fesyen tempatan meraikan Hari Kebangsaan dengan charm makanan ikonik Christy Ng (kiri) dan koleksi kain pelikat eksklusif Nala Design.

HARI Kebangsaan sering menjadi pentas untuk kita meraikan bukan sahaja sejarah kemerdekaan, tetapi juga kreativiti anak tempatan yang sentiasa menemukan cara baharu mengekspresikan identiti Malaysia. 

Dalam dunia fesyen, semangat patriotisme tidak hanya hadir dalam Jalur Gemilang yang dikibarkan atau warna merah putih biru kuning pada fabrik, tetapi juga dalam tafsiran moden penuh berani.

Ia melalui simbol, makanan, dan warisan tekstil dekat dengan kehidupan seharian rakyat.

BACA LAGI: [VIDEO] Gotong-royong hias 'mini muzium Hari Kebangsaan', semangat patriotik terus mekar

BACA LAGI: Keindahan perhiasan warisan, warna-warni perpaduan negara hiasi bazar sempena Hari Kebangsaan

Semakin tahun berganti, jenama fesyen tempatan mula menjadikan hari kebangsaan sebagai titik inspirasi untuk menampilkan koleksi unik yang membawakan cerita Malaysia ke pentas gaya. 

Ada menekankan keindahan tradisi, ada pula memilih jalan lebih segar dengan sentuhan moden dan humor. 

Dari aksesori comel berbentuk makanan ikonik hinggalah kain pelikat yang diangkat sebagai statement gaya, semuanya menggambarkan bagaimana fesyen mampu menjadi medium meraikan budaya dan identiti nasional.

Tahun ini, tumpah terarah kepada dua label lokal tidak asing lagi Christy Ng yang mengolah fenomena 'blind box' dengan inspirasi makanan tempatan, serta Nala Design, yang menyalakan kembali pesona kain pelikat melalui koleksi tema hari kebangsaan. 

Kedua-duanya menyalurkan mesej yang sama iaitu Malaysia kaya dengan cerita dan setiap satunya boleh dihidupkan semula melalui fesyen.

Christy Ng: Blind box charm makanan lokal

Fenomena 'blind box' kini meresap ke dunia aksesori, dan Christy Ng membawa 'twist' lokal dengan menampilkan charm berbentuk makanan kegemaran rakyat Malaysia. 

Ada enam pilihan comel yang hadir secara rawak dalam kotak misteri:

  • Karipap – Snek wajib di gerai tepi jalan, karipap rangup berinti kentang dan ayam ini sinonim dengan sarapan ringkas rakyat Malaysia.
  • Ketupat – Lambang perayaan dan kebersamaan, ketupat anyaman daun kelapa sering menghiasi meja Aidilfitri dan Aidiladha.
  •  
  • Kek bulan – Kek bulan berintikan pes kacang atau kuning telur masin itu pula melambangkan Mid-Autumn Festival, tanda keharmonian masyarakat majmuk.
  • Nasi lemak – Hidangan nasional dengan sambal pedas, ikan bilis rangup, dan aroma santan yang ikonik.
  • Bahulu – Kuih tradisional gebu yang menjadi kegemaran di majlis kenduri hingga kuih raya.
  •  
  • Durian – Raja buah dengan aroma yang menggoda atau menakutkan, tetapi tetap menjadi simbol kebanggaan tropika.

Setiap charm bukan sekadar aksesori, tetapi peringatan kecil tentang kepelbagaian rasa yang menyatukan rakyat.

Koleksi itu juga mengangkat makanan harian ke pentas gaya, membuktikan bahawa fesyen dan budaya boleh bergabung secara manis.

Nala Design: Kuasa kain pelikat

Nala Design pula meraikan Merdeka dengan koleksi kain pelikat moden yang dipersembahkan penuh warna.

"Kekuasaan untuk pelikat," ujar pengasasnya, sambil menekankan bagaimana kain tradisional itu sering diremehkan, walhal ia begitu versatil dan penuh karakter.

Rekaan kali ini hadir dalam bentuk skirt balon eksklusif dengan hanya 50 helai ditawarkan yang mana setiap satunya unik dengan cetakan bunga dan warna berani. 

Koleksi itu turut menampilkan top dan skirt pelikat yang boleh digabungkan dengan motif moden, menjadikan pelikat bukan sekadar pakaian rumah, tetapi simbol gaya kebebasan.

Ringan, sejuk dan sesuai untuk cuaca tropika, kain pelikat disemarakkan kembali sebagai simbol kebanggaan lokal yang kekal relevan dalam aliran fesyen kontemporari.

Dari charm berbentuk nasi lemak hingga skirt pelikat eksklusif, jelas bahawa label fesyen tempatan semakin berani menafsirkan semangat nasionalisme dalam bentuk baharu. 

Ia bukan sekadar fesyen tetapi ini adalah naratif tentang siapa kita, apa yang kita makan, dan tradisi yang kita junjung.

Hari Kebangsaan kali ini, gaya tidak hanya datang daripada bendera berkibar, tetapi juga daripada aksesori dan pakaian yang membawa cerita tentang Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram