'Syukur hidayah milik ALLAH', Lana terharu suami mualaf istiqamah solat di masjid, anak lelaki ikut jejak ayah


  • Cinta
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Lana dan Mohd. Daud yang mendirikan rumah tangga pada 15 Mei 2015 dikurniakan sepasang cahaya mata.

PELAKON Lana Nodin meluahkan rasa syukur dan sebak apabila melihat suaminya yang juga mualaf, Mohd. Daud McKienzie semakin istiqamah dalam menunaikan solat di masjid walaupun sedang bercuti di luar negara.

Menerusi hantaran di Instagram, Lana berkongsi rakaman video ketika mereka sekeluarga singgah di Masjid Jumeirah, antara masjid tercantik di Dubai.

Katanya, meskipun sedang melancong, suaminya tetap berusaha mencari lokasi masjid untuk menunaikan solat.

BACA LAGI: Kostum Bajau Sama 'mendunia', rekaan Mell Sulaiman pernah 'terbang' ke Switzerland, London, Qatar

BACA LAGI: Suami bukan setakat beri nafkah, bayar bil, kena 'alert' kesihatan isteri, jangan sambil lewa!

“Terharu tengok suami ajak anak 'bujang' ke masjid walaupun tengah bercuti. Sanggup waze cari masjid. Bila tanya kenapa nak solat di masjid setiap masa sekarang, dia jawab sebab rasa tenang bila solat. Alhamdulillah, terharu dengar,” tulis Lana yang pernah membintangi drama Gol & Gincu The Series dan Astana Idaman.

Lebih menggembirakan, sikap itu kini turut mempengaruhi anak lelaki mereka, William yang semakin kerap mahu menemani bapanya ke masjid.

Menurut Lana, perjalanan hidayah suaminya mengingatkan bahawa nikmat iman dan istiqamah hanya hadir dengan izin ALLAH SWT.

“Hidayah itu milik ALLAH. Bukan senang nak didik dan istiqamah kalau bukan dengan izin-NYA.

"Ini bukan untuk menunjuk, tapi peringatan buat diri saya dan kita semua yang lahir dalam keluarga Islam. Kalau suami saya yang mualaf boleh istiqamah, insya-ALLAH kita pun boleh,” katanya lanjut.

Perkongsian itu menerima banyak reaksi positif daripada pengikutnya di media sosial.

“Isteri hebat terbaik. Tak mudah nak didik orang yang baru masuk Islam dan istiqamah. Memang hidayah milik ALLAH, tapi usaha seorang isteri pun masya-ALLAH terbaik kak," kata Sofiayuniey.

“Berair mata… Kadang kita ni ada waktu lalai. Tapi bila kaki jejak masjid, automatik rasa tenang walaupun kepala serabut dengan masalah," kata Anisamirah.

Untuk rekod, Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin dan bekas pemain bola tampar Amerika Syarikat itu mendirikan rumah tangga pada 15 Mei 2015.

Pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata, Gia Quinn McKenzie, 9, dan William Daud McKenzie berusia 5 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram