
SETIAP wanita mempunyai cara tersendiri untuk menyesuaikan diri selepas bergelar isteri.
Bagi pelakon dan usahawan, Noor Neelofa, perubahan terbesar adalah belajar meletakkan suami sebagai keutamaan utama dalam hidupnya.
Berkongsi di platform cari jodoh Jannahmate menerusi pod siar, Neelofa berkata, akad nikah menjadi titik penting yang mengubah perspektifnya tentang peranan seorang isteri.
BACA LAGI: Aneka gaya rai Hari Malaysia, anak muda melaram jadi pahlawan Melayu, Minangkabau
BACA LAGI: Realiti pasangan 'overshare': Bahagia di media sosial, sengsara dalam kehidupan sebenar
Menurutnya, keredaan dan kebahagiaan suami adalah kunci utama menuju syurga.
"Sejurus selepas akad, saat seorang wanita bergelar isteri, keutamaannya adalah suami. Suami itu kunci untuk seorang isteri memasuki syurga," katanya.
Beliau menegaskan, seorang wanita tidak seharusnya meletakkan kerjaya, kemasyhuran atau perniagaan lebih tinggi daripada suami.
"Kalau seorang isteri lebih mementingkan kemasyhuran, kerja atau perniagaannya berbanding suami, lebih baik jangan berkahwin kerana perkara itu boleh membawa kepada kebinasaan, bukan membawa ke syurga," jelasnya.
Sebagai seorang usahawan, ibu kepada dua orang anak tersebut mengakui beliau sendiri pernah berdepan dilema membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga.
Namun, beliau menyedari kerja keras tidak membawa makna jika suami berasa terabai.
"Saya terfikir, kalau saya penat bekerja setiap hari tetapi suami tidak gembira atau tidak bahagia dengan apa yang saya lakukan, maka ia tidak ada gunanya," ujarnya.
Bagi beliau, prinsip yang harus dipegang seorang isteri adalah mendahulukan hak suami sebelum memberi perhatian kepada perkara lain.
"Perkara utama yang perlu dilakukan ialah menjaga suami, penuhi apa yang dia mahukan, bahagiakan dia dan selesaikan tanggungjawab kepadanya dahulu. Selepas itu barulah saya boleh fokus kepada hal lain," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram