[VIDEO] Jururawat digelar ‘Bus Aunty’, obses 'selfie' dengan bas merah ikonik London, raih perhatian jenama antarabangsa


  • Sukses
  • Ahad, 07 Sep 2025

Kecintaan Bemi kepada bas merah bermula sejak era 90-an. — Instagram/@bemi.omo.oroje

SEORANG jururawat kesihatan mental, Bemi Orojuogun menjadi fenomena di media sosial selepas video ringkasnya berlatarkan bas merah ikonik London tular hingga meraih puluhan juta tontonan di TikTok.

Wanita kelahiran Nigeria berusia 56 tahun itu lebih dikenali hampir 300,000 pengikutnya sebagai 'Bus Aunty'.

Memetik laporan agensi, Bemi berkata, kecintaannya terhadap bas merah bermula sejak awal 1990-an, ketika pertama kali tiba di United Kingdom.

Namun tidak menyangka minat sederhana itu membawa nama dan wajahnya ke pentas global.

BACA LAGI: 'Bukan setakat kursus kahwin saja, fahami ilmu faraid, hibah', ADUN Duyong dedah kes dialami wanita selepas kematian suami

BACA LAGI: Bukan jurufoto mahupun juruvideo, 'wedding content creator' urus kandungan media sosial sewaktu resepsi berlangsung

Menurut Bemi, video pertamanya yang mencetuskan fenomena berlaku secara kebetulan.

"Hari itu biasa saja. Saya rakam sekejap video, muat naik di TikTok tanpa fikir apa-apa. Tiba-tiba anak saya telefon dan berkata, 'Mummy, video mummy tengah viral!'"katanya.

Klip tersebut yang menampilkan beliau di hadapan sebuah bas merah akhirnya ditonton lebih empat juta kali.

Sejak itu, video-video Bemi terus meraih perhatian dengan jumlah tontonan mencecah puluhan juta, termasuk satu video yang hampir mencecah 50 juta tontonan.

Popularitinya turut menarik perhatian beberapa jenama besar untuk bekerjasama dengannya, termasuk pejabat Datuk Bandar London, Transport for London (TfL), IKEA dan syarikat fesyen mewah Burberry.

"Setiap peluang untuk mempamerkan sisi positif London, saya akan lakukan. Saya mahu orang melihat London sebagaimana saya melihatnya," ujarnya.

Selain menjadi wajah media sosial, Bemi juga dikenali kerana mesej yang dibawanya.

Beliau menggunakan platform digital untuk menyampaikan penghargaan kepada pemandu bas dan kakitangan lain yang terus berkhidmat sepanjang pandemik Covid-19.

"Mereka tetap bekerja walaupun berisiko. Tanpa mereka, saya tidak boleh ke tempat kerja. Bagi saya, mereka memang hebat," katanya.

Selain itu, fenomena Bus Aunty turut dilihat tribut peribadi buat mengenang arwah suaminya yang pertama kali ditemui di dalam sebuah bas.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram