PMS makin teruk akibat tekanan kerja? Ini penjelasan pakar mengapa wanita milenial, Gen Z lebih terkesan


  • Sihat
  • Ahad, 07 Sep 2025

Budaya kerja yang sibuk boleh memburukkan simptom PMS bagi wanita yang mengalaminya. — Gambar hiasan/Freepik

ADA satu ketika anda rasa baik-baik sahaja, tiba-tiba mudah marah, kemudian menangis kerana perkara kecil.

Persoalan yang sering timbul, adakah itu tekanan hidup semata-mata atau sebenarnya simptom PMS?

PMS atau sindrom prahaid lazimnya muncul satu hingga dua minggu sebelum haid.

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa tunjuk contoh baik depan anak lepas dikacau 'Karen Besbol', peminat cilik dapat hadiah istimewa

BACA LAGI: 'Bukan setakat kursus kahwin saja, fahami ilmu faraid, hibah', ADUN Duyong dedah kes dialami wanita selepas kematian suami

Tempat kerja boleh memainkan peranan dengan memberi kemudahan bekerja dari rumah. — Gambar hiasan/Freepik

Simptom yang sering dialami termasuk perubahan emosi, cepat marah, keletihan, kembung perut, sakit payudara, gangguan tidur serta selera makan.

Kajian menunjukkan hampir 75 peratus wanita usia subur mengalaminya dan seorang daripada lima wanita mendapati simptom cukup teruk sehingga menjejaskan rutin harian.

Pakar menjelaskan, gaya hidup moden dan budaya kerja hustle yang sentiasa sibuk, kurang rehat serta tekanan kerja yang tinggi menjadi antara faktor yang memburukkan keadaan.

Menurut Pakar Kesuburan dan IVF di Birla Fertility, New Delhi, India, Dr. Muskaan Chhabra, tekanan berpanjangan menyebabkan hormon stres (kortisol) kekal tinggi.

Ia mengganggu sistem saraf, mencetuskan keradangan dan akhirnya menjadikan simptom PMS lebih kuat.

Selain itu, Dr. Tripti Raheja daripada Hospital CK Birla menambah, peningkatan kortisol turut mengganggu keseimbangan hormon estrogen dan progesteron, lalu membuatkan gejala PMS lebih ketara.

Tambah mengejutkan apabila pakar juga mendapati wanita generasi milenial dan Gen Z cenderung mengalami PMS dengan lebih teruk berbanding generasi terdahulu.

Faktor seperti jadual hidup tidak menentu, kerja berpanjangan, kurang tidur dan gaya hidup tidak aktif menjadikan mereka lebih terdedah kepada simptom yang lebih kuat.

Di tempat kerja, isu PMS juga sering dipandang remeh. Ramai wanita segan untuk bersuara kerana bimbang dianggap lemah apabila mengambil cuti.

Tidur lewat antara faktor yang memburukkan lagi keadaan ketika PMS. — Gambar hiasan/Freepik

Namun, pakar memberi amaran bahawa jika berterusan diabaikan, simptom boleh berkembang kepada PMDD (premenstrual dysphoric disorder), iaitu keadaan lebih serius yang menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.

Selain stres, faktor lain seperti tidur lewat, kurang senaman, kebergantungan pada gajet serta pemakanan tidak seimbang turut memburukkan keadaan.

Bagi wanita yang menghidap PCOS atau PCOD, simptom PMS boleh berlaku lebih kerap dan berpanjangan sepanjang bulan.

Walaupun PMS tidak menjejaskan kesuburan secara langsung, tekanan kronik boleh mengganggu ovulasi dan kesihatan reproduktif.

Atas sebab itu, pakar menekankan kepentingan gaya hidup sihat melalui amalan pemakanan seimbang dengan kurang makanan diproses, lakukan aktiviti fizikal secara konsisten, tidur mencukupi dan kawal stres dengan lebih bijak.

Dalam masa sama, perubahan budaya kerja juga penting. Tempat kerja boleh memainkan peranan dengan memberi pilihan waktu fleksibel, kemudahan bekerja dari rumah serta mewujudkan kesedaran bahawa PMS adalah isu kesihatan, bukan kelemahan.

PMS sememangnya berpunca daripada faktor biologi, namun gaya hidup moden yang serba sibuk menjadikan gejalanya lebih sukar ditanggung.

Memberi perhatian terhadap isyarat tubuh, mengimbangi antara kerjaya dan kesihatan, serta sokongan daripada persekitaran kerja merupakan langkah penting untuk meringankan beban ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram