
PERJALANAN hidup setiap manusia sudah tertulis oleh yang Maha Berkuasa. Segalanya beputar mengikut ketetapan masa yang berbeza.
Bagi seorang wanita bernama Alyana Harizan, impiannya sejak kecil untuk menjadi seorang pramugari akhirnya tercapai apabila beliau diterima berkhidmat untuk syarikat penerbangan Qatar Airways sebelum meneruskan kerjaya itu dengan Batik Air.
Mengimbau zaman kecil, beliau menceritakan bagaimana setiap kali melihat kapal terbang di langit, hatinya sering berbisik bahawa suatu hari nanti dirinya juga akan berada di atas sana.
BACA LAGI: Lelaki Malaysia kongsi 4 perkara penting bila kahwin dengan keluarga Jerman-Rusia
"Dulu, impian saya memang untuk menjadi pramugari. Sewaktu kecil, setiap kali nampak kapal terbang lalu dekat langit, saya akan pandang lama-lama dan bisik kepada diri saya 'tenangnya dekat atas sana. Suatu hari nanti, saya nak berada di sana'"kongsinya menerusi akaun Threads miliknya.
Selama beberapa tahun, beliau menikmati peluang menjelajah dunia, bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dan mencipta banyak pengalaman berharga.
Namun, di sebalik semua itu, beliau mengakui terdapat persoalan yang sentiasa bermain di hatinya.
"Itu sahaja ke? Seluruh hidup saya hanya tentang terbang? Bagaimana jika suatu hari nanti saya tidak terbang lagi?
"Saya nak berkahwin, saya nak duduk di rumah, saya mahukan kehidupan yang berbeza," luahnya.
Wanita tersebut turut memberi gambaran bahawa setiap impian yang dikejar hadir dengan 'tempoh masanya'.
Menjadi pramugari katanya adalah satu fasa besar dalam hidup yang pernah didoakan dan akhirnya tercapai.
Pun begitu, beliau percaya rezeki ALLAH hadir dalam pelbagai bentuk mengikut masa dan keperluan hidup seseorang.
"Kadang-kadang, setiap impian yang kita doa dan kejar tu datang dengan expiry date. Menjadi pramugari adalah cita-cita terbesar saya dan Alhamdulillah, saya berjaya mencapainya, saya seronok melakukannya dan akan sentiasa menghargainya," ujarnya.
Kini, beliau lebih memilih untuk menjalani kehidupan baharu yang dianggap lebih tenang.
"Daripada bergelar seorang pramugari, saya sekarang menjalani kehidupan sebagai suri rumah, masih menjelajah, tetapi kali ini dalam perjalanan meniti cinta, harapan dan keluarga," tulis beliau sambil mensyukuri setiap fasa kehidupannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram