
PENYANYI sensasi antarabangsa, Taylor Swift akhirnya melangkah ke fasa baharu dalam kehidupannya apabila mengumumkan pertunangannya dengan bintang bola sepak Amerika Syarikat, Travis Kelce pada Selasa.
Berita gembira itu diumumkan Swift menerusi Instagram dengan kapsyen romantik, sekali gus mengesahkan desas-desus yang berlegar sejak beberapa bulan lalu.
"Cikgu bahasa Inggeris dan cikgu gim anda akan berkahwin," katanya.
BACA LAGI: Tidur lebih lama hujung minggu bantu kurangkan risiko sakit jantung hingga 20 peratus
Taylor Swift mengumumkan pertunangannya dengan bintang bola sepak Amerika Syarikat, Travis Kelce
Penyanyi berusia 35 tahun itu yang kini menjadi salah seorang artis paling berpengaruh di dunia, sebelum ini pernah dikaitkan dengan beberapa figura terkenal.
Berdasarkan rekod, pelantun lagu berjudul Love Story itu pernah menjalinkan hubungan dengan 12 jejaka terkenal sebelum bertemu Kelce.
Menariknya, sebahagian besar daripada mereka adalah selebriti kelas A, pelakon popular dan ahli muzik ternama yang sama-sama mencipta fenomena di arena hiburan.
Sebagai imbasan, berikut lima nama paling menonjol dalam senarai bekas kekasih Swift sebelum beliau menemui cinta sejatinya:
1. Joe Jonas (2008)
Anggota kumpulan Jonas Brothers ini merupakan antara hubungan awal Swift yang menjadi perhatian peminat.
Namun, kisah cinta mereka berakhir dengan kontroversi selepas Joe memutuskan hubungan melalui panggilan telefon selama 27 saat sahaja.
Perpisahan singkat itu mencetus inspirasi kepada lagu popular Swift, Forever and Always.
John Mayer menjalinkan hubungan dengan Swift pada tahun 2009 hingga 2010.
2. John Mayer (2009-2010)
Penyanyi dan komposer terkenal, John Mayer pernah menjalinkan hubungan dengan Swift ketika beliau berusia 32 tahun, manakala Swift ketika itu baru berusia 19 tahun.
Perbezaan umur yang ketara serta isu emosi yang kompleks mendorong Swift menulis lagu Dear John yang sarat dengan sindiran pedas terhadap bekas kekasihnya itu.
3. Jake Gyllenhaal (2010)
Pelakon Hollywood itu mencuri hati Swift sekitar penghujung 2010, namun hubungan mereka tidak bertahan lama.
Pemutusan hubungan itu dikatakan memberi inspirasi kepada beberapa lagu dalam album Red, termasuk lagu ikonik All Too Well yang sehingga kini menjadi kegemaran peminat.
Hubungan Swift bersama Harry Styles pernah mencetuskan kegilaan global.
4. Harry Styles (2012-2013)
Hubungan Swift bersama bintang One Direction itu pernah mencetuskan kegilaan global, khususnya dalam kalangan peminat muda.
Mereka sering dilihat bercuti bersama dan berpegang tangan di khalayak, sebelum berpisah secara dramatik.
Lagu seperti I Knew You Were Trouble dipercayai merujuk kepada hubungan berkenaan.
5. Calvin Harris (2015-2016)
DJ dan produser muzik terkenal dari Scotland ini pernah menjalin hubungan serius dengan Swift selama 15 bulan.
Mereka sering tampil bersama di acara berprestij dan menjadi pasangan glamor Hollywood ketika itu.
Namun, percintaan mereka berakhir pada 2016, dipercayai akibat perbezaan gaya hidup dan tekanan media.
Kini, lembaran baharu kehidupan Swift bermula bersama pemain pasukan Kansas City Chiefs, Travis Kelce yang melamarnya di Lee’s Summit, Missouri.
Kisah cinta mereka bermula secara sederhana selepas Kelce berkongsi hasrat untuk mengenali Swift melalui podcast miliknya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram